Walaupun pada umumnya, bazaar Ramadhan disediakan untuk memudahkan umat Islam membeli-belah sepanjang bulan puasa dan membuat persediaan menjelang sambutan Aidilfitri, namun bukan Islam juga tidak melepaskan kesempatan itu, khususnya membeli kuih-muih tradisional orang Melayu.

Ini diakui oleh sendiri oleh seorang peniaga di Chow Kit, Hafizal Hussin (foto). Menurtnya, pelbagai jenis kuih-muih membanjiri pasaran, namun kuih tradisional seperti bahulu, dodol, wajik dan kuih bangkit, tetap mendapat sambutan, termasuk di kalangan bukan Islam dan pelancong asing.

Menurut Hafizal, pada tahun ini, beliau bermodalkan kira-kira RM30,000 untuk mendapatkan bekalan pelbagai jenis kuih-muih dan separuh daripadanya ialah kuih tradisional.

Sejak seminggu lalu, katanya, pengunjung ke gerainya semakin bertambah dan jumlahnya dijangka semakin ramai menjelang minggu terakhir Ramadhan.

"Kami terkejut kerana baru-baru ini pelancong Jepun membeli dodol kerana menurut mereka, rasa yang sedap dan unik dan tidak ditemui di tempat lain," katanya ketika ditemui di Chow Kit.

Kebanyakan kuih tradisional ini, kata Hafizal, ditempah beberapa minggu sebelum Ramadhan daripada pembuat kuih tersebut di Kedah, Melaka, Johor, Pahang dan Perlis.

Seorang lagi peniaga, Noryati Kaus (foto) pula berkata, walaupun kuih moden seperti Almond dan tart nanas mendapat sambutan di kalangan umat Islam, tetapi kuih tradisional juga tidak pernah dilupakan.

Kuih tradisional

Katanya, yang lebih membanggakan ialah pembeli kuih tradisonal bukan terdiri daripada golongan tua sahaja, tetapi ramai juga anak muda yang berusia di awal 20-an.

"Mereka mungkin dari kampung dan teringin hendak makan kuih tradisonal yang menjadi kegemaran masyarakat kampung," katanya.

Bagi Dewi Ibrahim (foto), setiap tahun beliau mengutamakan menjual kuih tradisional kerana sambutan pembeli amat menggalakkan, termasuk dari kalangan masyarakat bukan Islam.

Apa yang lebih membanggakan, katanya, ialah ramai pelanggannya mengatakan kuih tradisional yang dibeli di kedainya enak dan menjadi kegemaran tetamu yang datang berkunjung ke rumah mereka.

Menurutnya, beliau menjangka orang ramai akan membeli lebih banyak kuih-muih beberapa hari sebelum Aidilfiti seperti berlaku setiap tahun.

Pada tahun lalu, katanya, dua tiga hari sebelum raya, umat Islam menyerbu kedai kuih tradisional untuk dibawa pulang ke kampung atau bagi jumuan ketika beraya di kota.