Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasukan khas siasat 1MDB dibentuk
Diterbitkan:  May 21, 2018 1:25 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes 1MDB, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan itu PMO memberitahu pasukan khas itu akan diketuai bersama beberapa tokoh berprofil tinggi.

Katanya pasukan itu akan dianggotai wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

PMO berkata pasukan khas itu diketuai bersama oleh Tan Sri Abdul Gani Patail yang juga bekas peguam negara, Tan Sri Abu Kassim Mohamed (bekas ketua pesuruhjaya SPRM), Dato Seri Mohd Shukri Abdull (ketua pesuruhjaya SPRM) dan Datuk Abdul Hamid Bador (bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman).

"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju membentuk satu pasukan khas siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB," kata kenyataan berkenaan.

1MDB ialah syarikat pelaburan milik kerajaan yang dibabitkan dengan dakwaan salah laku serta penyelewengan dana awam.

Ia juga dikaitkan secara langsung dengan Datuk Seri Najib Razak yang kini menjadi anggota parlimen pembangkang.

Harap maruah dapat dipulihkan

Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini berjanji untuk menyiasat skandal berkenaan yang selama ini ditegaskan oleh kerajaan BN sebagai "fitnah pembangkang".

Sejumlah pegawai kanan kerajaan serta pemimpin 1MDB aktif memberi penjelasan berhubung isu itu sehinggalah HARAPAN berjaya menguasai kerajaan melalui PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

Semasa isu 1MDB dan anak syarikatnya disiasat dulu, beberapa orang pegawai kanan "bersara" atau ditukarkan ke jabatan lain.

Antara mereka ialah Abdul Gani yang ditamatkan perkhidmatannya tiba-tiba dengan alasan kesihatan, serta Abu Kassim serta Mohd Shukri.

Abdul Hamid pula bertugas sebagai Timbalan Pengarah Cawangan‎ Khas Bukit Aman sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Menurut PMO pasukan khas berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya dalam aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca daripada salah laku dan penyelewengan dana 1MDB.

Dana yang dimaksudkan itu, kata PMO ialah yang masih tersimpan atau dilaburkan sama ada dalam atau luar negara.

"Pasukan khas ini juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama pelbagai pihak agensi penguatkuasaan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan," katanya.

Menurut PMO, penubuhan pasukan khas itu juga diharap dapat mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini, selain mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB.

Lihat Komen
ADS