Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Abduh: PAS kini jadi lebih penting
Diterbitkan:  May 21, 2018 5:49 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Salah seorang pemimpin kanan PAS berkata parti itu akan menjadi lebih penting dalam blok pembangkang di negara ini hasil kejayaan dilakar mereka dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini.

Menurut Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dengan "bertahan" di Dewan Rakyat dengan 18 kerusi, pencapaian itu adalah kekuataan yang diiktiraf.

Katanya ia mewakili 7.5 peratus daripada 20 peratus sasaran PAS.

"Bertahan di parlimen dengan 18 kerusi adalah kekuatan yang diiktiraf.

"PAS akan menjadi lebih penting di blok pembangkang. Ia mewakili 7.5 peratus daripada 20 peratus sasaran PAS," katanya.

Menurut Nik Abduh lagi jumlah 18 kerusi parlimen yang dimenangi parti itu dalam PRU lalu adalah besar dan tidak pernah diraih parti terbabit kecuali ketika mereka bergabung dengan parti-parti lain.

"Kali ini dengan hanya gabungan parti-parti kecil dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN), PAS mendapat lonjakan yang signifikan, apatah jika diambil kira bahawa PAS tampil dengan wajah lebih muda dengan kepimpinan baru selepas krisis 2015," kata Nik Abduh dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya.

Untuk rekod Nik Abduh ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan parti itu di Alor Setar, Kedah pada tahun lalu.

Dapat semula kerusi

Untuk rekod juga secara keseluruhan PAS meletakkan beberapa sasaran semasa menyertai PRU ke-14, daripada 40 kerusi Dewan Rakyat untuk menjadi king maker hingga 112 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Bagaimanapun hasil PRU ke-14 menunjukkan parti itu hanya mendapat 18 kerusi parlimen. Secara keseluruhan Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.

Di peringkat dewan undangan negeri (DUN) pula PAS memperoleh 90 kerusi dengan sebahagian besar tertumpu di Kelantan dan Terengganu, selain Kedah dan Pahang.

Bagaimanapun prestasi PAS sangat buruk di beberapa negeri lain. Di Selangor misalnya, PAS kini hanya mempunyai seorang wakil.


Baca Kini PAS matang dan sejahtera bersama HARAPAN


Menurut Nik Abduh PAS menyasarkan untuk menguasai tiga negeri utama iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"PAS juga menyasarkan untuk menawan Pahang dan Perlis dan meletakkan keduanya sebagai sasaran sukar.

"Hasilnya PAS menang cemerlang di dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu, manakala di Kedah, PAS hampir menguasai kembali negeri yang pernah ditadbirnya itu dengan memperolehi jumlah kerusi DUN yang banyak," katanya.

Mengenai kedudukan di Dewan Rakyat Nik Abduh berkata 18 kerusi yang dimenanginya itu kurang daripada 21 kerusi yang dicatatkan semasa PRU ke-13 lalu.

"Tetapi PAS memperolehi semula tambahan lima kerusi (daripada 13 kerusi) selepas lapan anggota parlimen PAS keluar dan melompat ke parti-parti politik lain semasa krisis dalaman melanda PAS beberapa tahun lepas," katanya.

Menurut anggota parlimen Bachok itu lagi, kejayaan PAS kali ini juga mengundang kekaguman penganalisis politik.

Mengenai prestasi di Selangor Nik Abduh berkata apa yang berlaku ialah PAS terkena tempias daripada krisis dalaman mereka kira-kira tiga tahun lalu.

Namun Nik Abduh percaya PAS akan bangkit semula selepas ini.

"Adakah anda menjangka PAS akan kembali lemah di Selangor? Anda tersasar jika mengeyakannya," katanya.

Lihat Komen
ADS