Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shukri: NYPD lindung saya daripada ‘gangguan’
Diterbitkan:  May 22, 2018 2:19 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendedahkan
bahawa beliau menjadi mangsa ‘gangguan’ ketika menyiasat jejak wang 1MDB pada tahun 2015.

Menurutnya, pada 31 Mei 2015 beliau berlepas ke Washington bagi mendapatkan perlindungan bagaimanapun memaklumkan kononnya beliau akan ke Arab Saudi.

"Saya ubah haluan dan ditularkan yang (kononnya) saya akan ke Arab Saudi menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran merah kepada saya di Jeddah dan dimaklumkan saya akan ditangkap di sana.

"Di Washington pula ada orang ikut saya, pasukan saya ambil gambar dan hantarkan pada saya kemudian saya hantarkan kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan memaklumkan untuk cari pegawai yang lebih bijak untuk ikut saya...

“Bukan dia ikut saya tetapi saya ikut dia," katanya pada satu sidang akhbar hari ini.

Shukri, sebelum ini adalah timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM.

"Secara kebetulan, saya berkawan dengan Jabatan Polis New York (NYPD). Mereka lindungi saya selama seminggu.

"Mereka bekalkan saya dengan tiga pengawal peribadi," katanya.

Namun, menurut Shukri beliau bukan satu-satunya pegawai SPRM yang ditekan ketika itu.

Di tanah air, katanya, dua pegawai SPRM ditangkap oleh polis, manakala beberapa pegawai tinggi lain disoal-siasat.

"Di Washington, saya menangis seperti kanak-kanak ... Saya rasa bersalah, anak buah saya ditangkap, sedangkan saya berada di Amerika Syarikat," kata Shukri dengan penuh emosi.

Beliau kemudian membuat beberapa panggilan telefon kepada menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Paul Low untuk meminta anak buahnya itu dilepaskan.

Shukri berkata walaupun diberi jaminan oleh Shahidan melalui mesej bahawa pegawainya akan dikembalikan dan dilepaskan, namun beliau tidak mempercayai janji menteri berkenaan.

Shukri membalas mesej itu, “Saya tidak percayakan janji anda, janji politik, I nak you buat segera, jika tidak saya akan kembali dan menggunakan kuasa saya untuk menahan pegawai yang mengeluarkan surat pertukaran kepada pegawai-pegawai”.

Shukri berkata beliau tahu kesannya amat besar jika beliau berbuat demikian tetapi semua itu dilupakan kerana tindakan itu dibuat demi negara.

Shukri berkata sekembalinya beliau ke Malaysia, beliau berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beliau bersetuju untuk mengembalikan pegawai-pegawainya.

Shukri berkata usaha untuk mendedahkan kes ini tidak terhenti walaupun menerima ugutan demi ugutan malah beliau dan Abu Kassim berpecah untuk berjumpa dengan beberapa menteri bagi meyakinkan mereka bahawa RM42 juta dan RM2.6 bilion adalah kes yang benar.

“Jika sayangkan negara gantikan Najib dengan orang lain, namun hanya tiga menteri yang berani mendedahkan perkara itu,” katanya.

Shukri berkata pada peringkat akhir perkhidmatannya di SPRM pada 2016 beliau ada mendengar desas-desus mengenai pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan SPRM.

Beliau berkata pada ketika itu, Abu Kassim tiada pilihan dan terpaksa mengundurkan diri dan terdapat cadangan timbalannya, Datuk Seri Mustafar Ali menggantikan tempatnya namun ditolak.

Shukri berkata Dzulkifli, yang kemudiannya dilantik menerajui SPRM sepatutnya membuat kajian menjadikan kes 1MDB lebih kuat (untuk pendakwaan) dan bukannya melindungi pesalah.

"Ini merupakan satu pengkhianatan yang besar dan saya tidak akan bekerja di bawah pengkhianat. Jadi saya mohon untuk berhenti awal dan saya hanya ambil kursus Bahasa Arab sebagai alasan untuk keluar daripada SPRM,” katanya.

Selain itu, Shukri juga mendedahkan bahawa ganguan terhadapnya, tidak berhenti setakat itu.

Malah katanya, peluru juga dihantar ke rumahnya.

"Ada peluru yang dihantar ke rumah saya, saya tidak beritahu sesiapa, termasuk isteri saya kerana tidak mahu mereka takut.

"Saya tidak membuat laporan polis kerana saya tidak mahu ia menjadi tular," katanya.

Shukri, bagaimanapun, enggan mendedahkan siapa yang membuat ancaman terhadapnya, beliau sekadar berkata dirinya tahu siapa mereka.

Dalam pada itu, Shukri mendakwa terdapat seorang anggota Parlimen dari utara yang mengganggu siasatan 1MDB dan mengajak beliau untuk berunding berhubung perkara itu.

Anggota Parlimen: “You nak apa?, balas Mohd Shukri, “I nak satu sahaja, jangan campur tangan dalam siasatan saya (1MDB), biar saya selesaikan, Peguam Negara akan buat keputusan (berhubung perkara ini).

“Sekali lagi awak datang (ganggu siasatan 1MDB), saya akan tahan awak,” kata Shukri yang menggelarkan anggota Parlimen berkenaan ‘raja wang tunai’.

Tanpa menamakannya, Shukri berkata anggota Parlimen berkenaan merupakan orang suruhan yang diarahkan untuk mengganggu siasatan kes itu.

Katanya selama setahun enam bulan kebelakangan ini Shukri berkata beliau hanya menceritakan kepada rakyat secara kelompok kecil-kecilan dan tidak membuat ceramah terbuka.

“Saya simpan perkara ini (tidak dedah kes sebenar 1MDB), sampai satu masa Allah beri saya peluang pada hari ini untuk menceritakan perkara sebenar,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS