Kira-kira 800 kakitangan tetap SPAD akan diserap ke JPJ
Kira-kira 800 kakitangan bertaraf tetap di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan diserap ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan pengumuman pembubaran suruhanjaya itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata JPJ ketika ini mempunyai kira-kira 1,000 kekosongan perjawatan dan ia akan diisi kakitangan tetap daripada SPAD.
“Semua kakitangan tetap tidak perlu risau atau bimbang. Mereka tidak akan disingkirkan atau diberhentikan.
“Peranan SPAD akan diambil alih oleh MOT terutamanya melalui JPJ. Mereka (kakitangan SPAD) ini boleh mengisi kekosongan perjawatan di JPJ ini terutama di bahagian penguatkuasaan.
“Bagi mana-mana perjawatan yang ada pertindihan, kami akan buat keputusan kemudian," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi JPJ di sini, hari ini.
Loke berkata operasi SPAD akan diteruskan seperti biasa sehingga Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim berjumpa dengan pengurusan tertinggi SPAD dan menstruktur semula kerja-kerja mereka.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran empat badan dan agensi kerajaan iaitu Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara.
- Bernama

