Orang ramai dipelawa mengemukakan cadangan atau pandangan terhadap Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Pengguna sebelum ia dibahaskan di Parlimen.

Kedua-dua Rang Undang-Undang (RUU) itu boleh dimuatturun dari laman web Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi di

http://www.ktak.gov.my/warterbill .

Semua pandangan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris hendaklah dikemukakan sebelum 24 November ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yeik dalam kenyataannya menjelaskan, kerana bekalan air merupakan elemen penting dan keperluan asas semua rakyat, kerajaan memutuskan mengadakan sesi taklimat dan mengumpul pandangan umum sebelum kedua-dua RUU itu dibahaskan di Parlimen.

Kumpulan sasar yang dikenalpasti ialah para wakil rakyat, kerajaan-kerajaan negeri, pihak operator air dan pembentungan serta persatuan-persatuan industri, persatuan-persatuan pengguna dan badan-badan bukan kerajaan.

Dr. Lim berkata, pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan draf kedua-dua RUU berkenaan yang bertujuan mengstruktur semula industri perkhidmatan air negara.

Katanya, bagi memastikan kedua-dua dokumen itu lengkap dan sempurna, Kerajaan Persekutuan membenarkan kementerian berkenaan mengadakan siri rundingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas.