Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berita ringkas: Elaun ketua kaum di S'wak diteruskan
Diterbitkan:  May 25, 2018 7:14 AM
Dikemaskini: 11:20 PM

Kerajaan negeri Sarawak memutuskan untuk meneruskan urusan pembayaran elaun bagi ketua-ketua kaum di Sarawak, yang akan disegerakan sempena ketibaan sambutan Hari Gawai pada 1 Jun ini dan sambutan Hari Aidilfitri pertengahan bulan depan.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri malam tadi, kerajaan negeri membuat keputusan untuk meneruskan dan menanggung pembayaran elaun berkenaan bagi ketua-ketua kaum di Sarawak.

Ini susulan pekeliling Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang menangguhkan sementara semua urusan berkaitan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK/JKKK Persekutuan) termasuk urusan pelantikan, pertukaran, bayaran elaun dan lain-lain hal yang berkaitan.

Pengumuman kementerian itu adalah ekoran keputusan kerajaan pusat semalam untuk membubarkan beberapa agensi dan badan kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan negara.

21 pelajar SK Jabi keracunan makanan

Seramai 21 pelajar asrama Sekolah Kebangsaan Jabi di Pokok Sena mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan daging masak hitam ketika bersahur, awal semalam.

Semua pelajar membabitkan tujuh lelaki dan 14 perempuan berusia 11 dan 12 tahun menikmati hidangan berkenaan di kantin asrama pada jam 4.30 pagi sebelum mengalami cirit-birit dan muntah.

Kesemua pelajar berkenaan menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Pokok Sena di sekolah berkenaan sebelum dirujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menerima rawatan pesakit luar.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, dalam kenyataan, berkata hidangan daging masak hitam yang disediakan oleh pengusaha kantin untuk bersahur disyaki punca keracunan. Asrama sekolah tersebut menempatkan sejumlah 57 pelajar.

Dadah: Wanita warga emas Australia dihukum mati

Mahkamah Rayuan di Putrajaya menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang wanita warga emas dari Australia, Maria Elvira Pinto Exposto, kerana mengedar 1,142.8gm methamphetamine yang disembunyikan dengan dijahit pada suatu bahagian beg galas dibawanya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki mensabitkan kesalahan Exposto bagi tududuhan mengedar dadah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa agar keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan wanita itu, diubah.

“Kami dapati rayuan itu mempunyai merit. Kami membenarkan rayuan itu dan mengetepikan keputusan pembebasannya,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa Exposto disabitkan bagi kesalahan itu.

Ibu kepada tiga anak itu dituduh mengedar dadah berkenaan di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP1), Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada kira-kira 3.40 petang 7 Dis 2014.

BNM serbu Axios Group kerana guna perkataan 'Bank'

Bank Negara Malaysia (BNM) melakukan serbuan ke atas Axios Group Sdn Bhd berikutan syarikat itu disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 139(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) kerana menggunakan perkataan “bank” pada papan tanda premis pejabat mereka di Cheras dan laman web tanpa kelulusan bertulis daripada bank pusat itu.

Dalam satu kenyataan semalam, BNM berkata semasa serbuan dilakukan, dokumen yang berkaitan dan komputer dirampas untuk membantu siasatan.

“Di bawah seksyen 139 (1) FSA, adalah suatu kesalahan bagi mana-mana pihak menggunakan perkataan ‘bank’ tanpa kelulusan bertulis kecuali pihak tersebut dilesenkan di bawah Akta ini untuk menjalankan perniagaan perbankan atau perniagaan perbankan pelaburan, di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara untuk tempoh tidak melebihi lapan tahun atau denda tidak lebih RM25 juta atau kedua-duanya,” katanya.

MCCC optimis harga barang turun dengan pemansuhan GST

Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) optimis harga barang akan turun dengan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Presiden MCCC Tan Yew Sing berkata beliau akan terkejut jika harga barang tidak turun apabila perpindahan dua sistem cukai itu berlaku.

“Pelaksanaannya akan mengambil sedikit masa, tetapi saya akan terkejut jika ada barang yang tidak turun harga, mungkin ada sesuatu yang tidak betul dan mungkin peniaga tidak memberikan respons,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan semalam.

Pakatan Harapan yang membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 antaranya berjanji untuk menghapuskan GST secara keseluruhan dan memperkenalkan semula SST dalam tempoh 100 hari.

Siri KEN: JPJ Kedah sasar lebih 2,500 permohonan tender

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menjangkakan menerima lebih 2,500 permohonan tender apabila siri plat nombor pendaftaran KEN dibuka pada penghujung bulan ini.

Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, ia dijangka mencatatkan permohonan paling banyak berbanding siri plat nombor pendaftaran sebelum ini, malah harganya juga dijangka mencecah sehingga RM500,000.

"Permohonan tender bagi siri plat nombor pendaftaran KEN akan dibuka kepada umum selewat-lewatnya penghujung Mei ini dan permohonannya dijangka paling banyak berbanding siri plat sebelum ini.

"Dari segi harga, sebelum ini bidaan mencecah RM300,000 bagi satu-satu nombor, namun kali ini saya percaya akan ada nombor yang mencecah bidaan sehingga RM500,000, selain bidaan lebih RM100,000 bagi nombor 'satu digit'," katanya kepada pemberita di Sungai Petani semalam.

KPS mahu pengambialihan Splash diselesaikan segera

Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) berharap semua isu mengenai pengambilalihan syarikat konsesi air, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) akan dimuktamadkan dengan segera di bawah kerajaan Persekutuan dan negeri yang baharu.

Pengerusinya Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata KPS, yang memiliki pegangan sebanyak 30 peratus dalam Splash, mahu Selangor dan kerajaan Persekutuan pada masa ini menyelesaikan semua isu tertunggak berkaitan pengambilalihan syarikat konsesi air pada 4 Julai, susulan tarikh akhir yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Kami berharap tarikh akhir ini (bagi pengambilalihan Splash) akan muktamad dan tiada lagi lanjutan...supaya kita semua boleh meneruskan kehidupan kita dan tidak membincangkan mengenai pengambilalihan itu lagi. Jika ia (Splash) akan dijual, hendaklah dijual.

“Kumpulan berharap terdapat keazaman yang kuat untuk menyelesaikan isu pengambilalihan ini bukan sahaja atas dasar KPS dan kerajaan Selangor tetapi juga untuk pengguna di negeri ini yang ingin melihat wujud penambahbaikan dari segi kualiti air dan sistem pengedaran,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan dan luar biasa KPS semalam.

Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan Konsortium Abbas Sdn Bhd menjual aset air mereka, masing-masing pada nilai RM2.47 bilion, RM3.11 bilion dan RM990 juta kepada Pengurusan Air Selangor Bhd.

Splash merupakan aset air terakhir yang akan diambil alih di bawah langkah penstrukturan semula air Selangor.

- Bernama


 

Lihat Komen
ADS