Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Seloka' mesra Nik Abduh buat kerajaan harapan
Diterbitkan:  May 25, 2018 3:03 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Dalam naratif yang agak berbeza seorang pemimpin PAS hari ini mendendangkan nada baru terhadap Pakatan Harapan yang menduduki Putrajaya.

Menulis di Facebooknya semalam Nik Abduh Nik Abdul Aziz menzahirkan rasa girang dengan perubahan kerajaan pusat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Dalam catatan yang dilihat cuba ditulis sebagai sajak, anggota parlimen Bachok berkenaan berkata pemimpin baru sekarang "nampak jujur" dan "amanah".

Katanya Malaysia baru yang hadir ketika ini juga tidak lagi sombong, angkuh atau sumbang.

Perubahan itu kata Nik Abduh berlaku ketika Ramadan yang hebat hadir.

Hantaran itu dimuat naik di Facebook Nik Abduh petang semalam.

Antara lain anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu menulis:

"Semua adalah kesungguhan dan pembaharuan
Menepati janji pada rakyat
Saya tidak boleh tidak gembira
Hati girang bebas dan merdeka
Menjadi pembangkang
Sebuah Malaysa Baru
Sebuah kerajaan harapan
Bulan Ramadhan penuh harapan
Dengan taqwa, syukur dan hidayah
Daripada Allah
Tuhan pencipta perubahan
Untuk Malaysiaku tercinta."

Walaupun tidak menyatakan secara khusus kata-katanya itu ditujukan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) namun susunan serta pemilihan perkataan Nik Abduh diyakini dimaksudkan kepada Putrajaya.

HARAPAN mengetepikan BN untuk kali pertama dalam sejarah dan menawan Putrajaya melalui PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

Gabungan itu melibatkan empat parti iaitu PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU. PAS pula istiqamah bersama blok Gagasan Sejahtera yang diterajuinya.

Dalam PRU lalu, PAS menyasarakan menjadi kerajaan pusat dengan menguasai sekurang-kurangnya 112 kerusi. Untuk itu mereka meletakkan 158 calon di kerusi parlimen.

PAS juga menyasarkan menjadi kingmaker dengan memenangi 40 kerusi parlimen.

Bagaimanapun PAS hanya memperoleh 18 kerusi di Dewan Rakyat, iaitu kurang daripada separuh sasaran untuk menjadi kingmaker.

Di sebalik prestasi tidak memberangsangkan itu PAS masih berjaya mengekalkan penguasaan mereka di Kelantan, serta menawan Terengganu.


Baca Zuhdi: PAS parti politik paling berintegriti


Di peringkat dewan undangan negeri secara keseluruhan PAS memenangi 90 kerusi daripada 393 yang ditandingi.

Sebelum ini PAS mengambil sikap yang agak keras terhadap HARAPAN, terutama apabila gabungan berkenaan disertai dua parti seteru utama mereka - DAP dan AMANAH.

Namun untuk rekod pada 20 Mei lalu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menawarkan pendekatan matang dan sejahtera dengan Putrajaya.

PAS juga, kata anggota parlimen Kubang Kerian berkenaan, sedia menjadi rakan dialog untuk Putrajaya.

Lihat Komen
ADS