Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zuhdi: PAS parti politik paling berintegriti
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 11:38 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

PRU14 | PAS merupakan parti politik mengamalkan kaedah paling berintegriti bagi mendapatkan dana membiayai kempen pilihan raya berbanding pihak lain, kata salah seorang pemimpinnya.

Hal itu kerana, kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki, parti itu memperoleh wang melalui pendanaan awam (crowdfunding).

Melalui kaedah itu, katanya, PAS tidak terikat dengan apa-apa kepentingan daripada penyumbang.

"Kemasukan sumbangan dana ke akaun umum PAS adalah telus dan boleh disemak oleh khalayak umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua hari lalu Zuhdi yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS mengakui parti itu menerima sumbangan derma daripada individu tertentu.

Bagaimanapun Zuhdi menegaskan PAS tidak menerima derma dari Umno atau ibu pejabat parti berkenaan.

"Bekas pimpinan PAS sendiri kata kita dapat RM1.5 juta, RM1 juta dalam bank. Ini adalah merupakan derma. Derma daripada individu, bukan Umno, bukan daripada Umno, bukan dari pejabat Umno," katanya dalam satu forum anjuran akhbar Sinar Harian.

PAS boleh bangga

Malah kata Zuhdi jika ada orang yang mahu menderma RM5 juta pun parti itu akan bersyukur kerananya.

Bagaimanapun sebaran yang tular di media sosial mendakwa individu yang memberi sumbangan kepada PAS berkenaan ialah pegawai kepada pemimpin kanan Umno.

Pengakuan Zuhdi itu dibuat selepas dakwaan PAS mendapat sumbangan daripada pihak yang diragui menjadi tular, sebelum ia disebut secara jelas oleh bekas naib presiden parti itu Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz kini dilantik sebagai naib presiden AMANAH.

Kata Mahfuz sejumlah RM1.5 juta didepositkan ke pejabat PAS pusat manakala RM1 juta lagi diterima tiga pemimpin PAS Terengganu.

Seorang lagi anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula menegaskan parti itu boleh berbangga kerana tidak memperoleh dana daripada mana-mana kongsi gelap bagi membiayai kegiatannya.

"Ahli PAS boleh berbangga, PAS tidak pernah menerima dana daripada kumpulan kongsi gelap atau apa-apa aktiviti yang haram di sisi negara, apatah di sisi agama.

"Bagaimana nak jadi model pemerintahan terbaik, kalau awal-awal lagi diikat kumpulan haram?" katanya semalam.

Zuhdi berkata kebanyakan parti politik memilih cara yang tidak bermoral untuk memperolehi dana, iaitu melalui proksi atau pihak yang mempunyai kepentingan.

Katanya sumbangan itu sama ada dimasukkan ke akaun individu atau akaun proksi untuk mengelakkan disemak oleh umum.

"Dengan kaedah ini mereka boleh memperolehi sumbangan daripada tauke-tauke berkepentingan, industri haram seperti kongsi gelap dan pihak-pihak asing seumpama Zionis serta Evangelis.

"Hanya PAS yang menolak kaedah seperti ini," katanya.


Baca Minda pak cik berkarat, bacaan dia Malaysiakini


Zuhdi seterusnya mengaitkan dua parti paling dimusuhi PAS - DAP dan AMANAH - dengan sumbangan pihak berkepentingan.

Katanya kini "timbul semula" isu DAP mendapat manfaat politik daripada sumbangan bernilai RM50 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Katanya individu itu juga pernah menyalurkan sumbangan RM500,000 kepada AMANAH Perak serta berjanji akan memberikan dana 10 kali ganda lebih banyak jika mereka berusaha keras menawan negeri itu daripada BN.

"Sekiranya sumbangan 10 kali ganda itu diperolehi sekarang bermakna AMANAH Perak sahaja memperolehi sumbangan RM5 juta.

"Apa motif tauke ini memberi sumbangan kepada AMANAH Perak? Mahfuz sebagai naib presiden AMANAH sepatutnya menjawab perkara ini," katanya.

Lihat Komen
ADS