Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis sedang mengesan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos selepas beliau menghilangkan diri semasa prosiding mahkamah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, pemimpin 'gerakan baju merah' itu didakwa oleh seorang majistret di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, yang mana dia ditahan tetapi hilang semasa proses ikat jamin.

"Dia meninggalkan hospital semasa proses dokumentasi untuk ikat jamin malam ini.

"Kami akan mencarinya (segera) untuk menyelesaikan proses itu," kata Fadzil.

Percubaan menghubungi Jamal untuk mendapat maklum balas tidak berjaya manakala akaun WhatsAppnya menunjukkan dia tidak aktif sejak 10 Mei lalu.

Jamal sedang menerima rawatan kerana sakit belakang di hospital berkenaan.

Jamal, 48, didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun depan sebagai sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Dalam kejadian 5 Oktober tahun lalu itu, Jamal dikatakan mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Selasa lalu, Jamal turut ditahan di hospital sama bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 selepas terdapat laporan terhadapnya yang dikatakan senjaga mempamerkan senjata apinya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pada 12 Mei lalu berkata, laporan polis dibuat berhubung gambar tular yang memaparkan seorang lelaki seakan-akan Jamal dengan gambar tersisip di pinggang.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan daripada gambar berkenaan sama ada ia senjata betul atau palsu.

Lihat Komen
ADS