Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim perlu akur keputusan yang dibuat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam melantik menteri besar Perlis, tulis pojok Mingguan Malaysia, Awang Selamat.

"Akurlah krputusan yang dibuat Raja Perlis dan pelantikan ADUN Bintong, Azlan adalah sah dari segi perundangan.

"Sempena Ramadhan ini, bertautlah dan lihat ke hadapan, buang yang keruh ambil yang jernih," kata Awang Selamat.

Lidah pengarah akhbar milik parti pembangkang Umno itu juga berharap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim dapat memulihkan keadaan berikutan krisis pelantikan menteri besar yang telah berlarutan selama dua minggu.

"Shahidan dan kumpulannya harus menghormati Raja Perlis...

"...adalah tidak wajar memboikot upacara angkat sumpah yang mengundang kemurkaan Raja Perlis," tulis Awang Selamat mengulas sembilan ADUN Perlis yang memboikot istiadat angkat sumpah Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar.

Tulisan itu juga menggesa Shahidan agar berjiwa besar.

"Hentikanlah drama politik dan inilah masa berkhidmat kepada rakyat...

"Shahidan harus berjiwa besar dan menerima hakikat calonnya yang juga adik beliau, (Datuk) Ismail Kassim tidak diperkenankan oleh Tuanku Syed Sirajuddin," kata Awang Selamat.

Ketika mengulas tindakan Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar negeri itu pada 24 Mei lalu, Shahidan Kassim memohon Raja Perlis supaya tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri.

Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat tanpa mendapat sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis.

“Saya rayu pada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja supaya menghormati perlembagaan, sebagai raja berpelembagaan.

"Tuanku sebagai Raja tak perlulah campur tangan tentang pentadbiran sebab pentadbiran akan uruskan," katanya.

Shahidan yang juga pengerusi BN Perlis seterusnya mengisytiharkan Azlan sebagai menteri besar bebas menuntut Azlan dipecat serta-merta.

"Kita memecat Azlan Man berkuatkuasa hari ini.

"Selepas ini pusat yang kena maklumkan dan keluarkan surat.

"Sekarang dia jadi menteri besar bebas," kata Shahidan.

Beliau berkata Azlan sepatutnya tidak menerima pelantikan itu kerana tidak mendapat sokongan majoriti.