Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jamal 'muncul' dan nafi lari, cuma ke Tabung Haji
Diterbitkan:  May 27, 2018 9:44 AM
Dikemaskini: 5:33 AM

Selepas lebih daripada 34 jam hilang ketika urusan ikat jaminnya berlangsung dan menyebabkan pihak polis cuba mengesannya, Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akhirnya muncul, menjanjikan pihak berkuasa kerjasama penuh dirinya.

Dalam rakaman yang dihantar kepada pemberita pada awal pagi ini, Jamal menafikan melarikan diri dari hospital semasa keluar ketika prosiding ikat jamin mahkamah, malah menganggap kejadian itu berlaku kerana salah faham.

Jamal mendakwa bergegas meninggalkan kawasan hospital itu pada Jumaat lalu kerana pergi ke Tabung Haji disebabkan anggapannya tempoh tahanan remannya telah berakhir.

Beliau berkata ke Tabung Haji untuk mengeluarkan wang yang diperlukan bagi perbelanjaan ikat jamin dan kos berkaitan kes tersebut.

Jamal juga berkata memandangkan dia tidak begitu sihat, dia memutuskan untuk berehat sementara waktu, walaupun menerima panggilan memaklumkan pihak polis sedang mengesannya.

"Jadi apabila... saya bergegas keluar daripada hospital itu kerana mengejar masa, takut-takut pihak apanama...waktu pejabat Tabung Haji tutup.

"Jadi setelah saya berjaya mengeluarkan duit tersebut, saya mendapat pangilan saya sedang diburu oleh pihak polis kerana melarikan diri daripada hospital dan sebagainya.

"Jadi sebab itulah dalam keadaan yang saya kurang sihat, bagi saya lebih baik saya berehat dahulu dan insyaAllah saya akan tetap memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis," kata Jamal dalam rakaman itu.

Prosiding ikat jamin itu dibuat di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana Jamal menerima rawatan sakit belakang di wad hospital.

Bagaimanapun, pemimpin kumpulan Baju Merah itu gagal menjelaskan pihak yang telah menghubunginya dan kenapa dia tidak memberitahu polis atau peguamnya berkenaan keputusannya meninggalkan hospital.


Semalam, peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin (gambar) berkata kehilangan Jamal mungkin kerana dia tidak biasa dengan prosiding ikat jamin mahkamah dan menggesa anak guamnya itu untuk menghubungi pihak polis.

Pagi ini, Mohd Imran dalam suatu kenyataan mengesahkan Jamal telah menghubunginya dan berkata anak guamnya akan hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan proses ikat jamin.

"Beliau juga memaklumkan bahawa beliau masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan.

"Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak Polis setelah beliau benar-benar sihat," kata Imran yang juga ADUN Sungai Panjang.

Pihak peguam percaya telah berlaku sedikit salah faham, sehingga perkara dan situasi beliau tersebut telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif. Beliau tidak melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya.

Janji hadir ke balai

Pihak peguam juga telah memaklumkan kepada pihak Polis berkenaan perkembangan ini dan pihak Polis telah mengambil maklum perkara ini.

Imran berkata situasi anak guamnya telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif, selain menjelaskan pihak polis telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini.

Jamal juga berjanji akan menghadirkan diri ke balai polis tetapi tidak memaklumkan waktunya.

"So bagi saya perkara ini adalah salah faham bagi saya...bagi saya ingatan saya mungkin process itu telahpun selesai tetapi ada beberapa dokumen selepas jaminan yang saya telah baca yang saya tidak tandatangani.

"Itu saja sebenarnya, bukan saya melarikan diri daripada polis dan sebagainya. InsyaAllah saya akan datang ke balai dan berikan kerjasama dengan pihak polis sepenuhnya," katanya.

Kejadian tersebut berlaku selepas Jamal didakwa di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, pertuduhan berkaitan gangguan awamm.

Jamal, 48, didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun depan sebagai sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Dalam kejadian 5 Oktober tahun lalu itu, Jamal dikatakan mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Selasa lalu, Jamal turut ditahan di hospital sama bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 selepas terdapat laporan terhadapnya yang dikatakan sengaja mempamerkan senjata apinya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pada 12 Mei lalu berkata, laporan polis dibuat berhubung gambar tular yang memaparkan seorang lelaki seakan-akan Jamal dengan gambar pistol tersisip di pinggang.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan daripada gambar berkenaan sama ada ia senjata betul atau palsu.

Jamal, didapati menghilangkan diri dari hospital pada kira-kira jam 3.30 petang sebelum prosiding ikat jaminnya selesai.

Setakat 10 malam tadi, kira-kira 30 jam kemudian, pihak polis berkata masih belum dapat menjejaki Jamal.

Lihat Komen
ADS