Pulanglah... kata Anifah pada Musa menjelang hari raya
Nasihat daripada seorang adik kepada abangnya yang sedang diburu: Cukuplah berpolitik dan kembali sebagai lelaki yang kuat.
Itu kenyataan dibuat Datuk Seri Anifah Aman buat abangnya yang juga bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Dipetik Astro Awani, bekas menteri luar itu membuat kenyataan berkenaan pada majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Musa ialah pengerusi BN Sabah serta anggota Majlis Tertinggi Umno yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah.
Musa, 67, hilang dari radar pihak berkuasa sejurus selepas dia disahkan tidak lagi mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di Sabah walaupun sudah mengangkat sumpah.
Jawatan ketua menteri di Negeri Di Bawah Bayu itu kini diisi Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Musa dikehendaki polis bagi melengkapkan siasatan berhubung gangguan diadukan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Yakin baik-baik saja
Walaupun tiada sebarang pengesahan, Musa dipercayai sempat meninggalkan negara ini sebelum namanya disenarai hitam, dan ada pihak mendakwa dia sedang berada di London.
Siasatan polis dibuat ekoran laporan dibuat Juhar sendiri pada 14 Mei lalu.
Anifah berkata menjelang Aidilfitri kira-kira tiga minggu lagi wajar untuk abangnya pulang.
Mendakwa bertemu Musa kali terakhir di kediaman rasmi ketua menteri Sabah pada 10 Mei lalu Anifah, 64, berkata sejak itu mereka tidak lagi berhubung.
"Kali terakhir kita bertemu di Sri Gaya (kediaman rasmi ketua menteri Sabah). Saya yakin dia OK," katanya.
Baca Musa jemput SPRM geledah kediamannya
Mengulas mengenai keadaan Musa, Anifah berkata: "Cukuplah berpolitik, rehatlah. Kembali sebagai seorang yang kuat (dan) mari berkumpul dengan keluarga pada hari raya nanti," katanya.
Untuk rekod Anifah berjaya memenangi kerusi parlimen Kimanis pada PRU ke-14 lalu dengan mengalahkan pencabar tedekat Datuk Karim Bujang dengan perbezaan hanya 156 undi.
Pada PRU ke-13 Anifah memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,753 undi.
Musa pula mempertahankan kerusi dewan undangan negeri untuk Sungai Sibuga dengan kelebihan undi 2,184 berbanding 11,569 undi pada PRU 2013.
Musa disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan melibatkan ugutan jenayah.
Beliau juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.