Lebih lima juta pendeposit Lembaga Tabung Haji dijangka menerima kadar dividen dan bonus pada tahun ini melebihi jumlah yang diberikan pada tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Beliau berkata pemberian dividen dan bonus meningkat berikutan keuntungan perniagaan yang dijalankan agensi itu dalam menguruskan pemilikan aset terbesar kaum bumiputera yang kini mencecah RM12.6 bilion.

Lembaga itu telah memberikan kadar dividen dan bonus pada tahun berakhir tahun lepas sebanyak 4.3 peratus, katanya semasa berucap merasmikan Kursus Haji Perdana di Kota Bharu malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Dr. Abdullah berkata, kadar dividen dan bonus tahun ini akan diumumkan selepas musim haji akan datang.

Sehubungan itu, Abdullah menyarankan agar orang ramai menabung wang mereka di lembaga itu mengikut kemampuan dan pihak pengurusan akan mengeluarkan zakat pada setiap tahun.

Mengenai bilangan jemaah haji pada musim ini, beliau berkata lebih 24,000 orang dijangka menunaikan haji tahun ini berdasarkan kepada kuota yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Katanya setakat ini lebih 100,000 orang yang berdaftar dengan lembaga itu menunggu giliran masing-masing untuk menunaikan ibadat haji.

Beliau berharap orang ramai tidak perlu resah dengan kelewatan untuk menunaikan haji kerana negara terikat dengan peraturan dan kuota yang ditetapkan Arab Saudi.