Wawancara Malaysiakini

Chin Tong saran laluan berbeza ECRL

Koh Jun Lin  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Banyak projek mega era bekas perdana menteri Datuk Seri Najib yang sedang disemak semula dan kemungkinan dibatalkan, namun pengarah pendidikan politik DAP Liew Chin Tong menyarankan laluan berbeza untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur.

ECRL dirancang membina terowong melalui Banjaran Titiwangsa. Bagaimanapun, Chin Tong menyarankan supaya laluan kereta api itu dipanjangkan ke arah selatan dan bersambung ke jalur pantai barat semenanjung melalui Gemas, Negeri Sembilan, yang mana sememangnya sudah terdapat landasan keretapi sedia ada.

"Sebagai contoh, jika anda ingin pergi ke pantai timur (dari pantai barat), terdapat KTM. Sudah tentu, masalah di sini adalah anda perlu bertukar di Gemas sebelum menuju utara (ke arah Kelantan). Tetapi negara kita telah memiliki asas infrastruktur kereta api, jadi mengapa tidak memperbaiki asas-asas yang ada itu?

"Terdapat sebab yang sangat fundamental kenapa pentadbiran Inggeris membina landasan kereta api yang memerlukan persimpangan di Gemas (selatan Kuala Lumpur) sebelum kembali ke utara, dengan banjaran gunung di tengah (Semenanjung Malaysia).

"Sekiranya anda membina terowong untuk menembusi pergunungan itu, belanja menjadi lebih tinggi. Jadi mengapa tidak mengukuhkan infrastruktur sedia ada? Sekiranya kita boleh, maka dapat menurunkan kos dengan ketara dan memberikan KTM kehidupan baru," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara minggu lalu.

Beliau berkata walaupun projek mega seperti ECRL, MRT, dan penambahan laluan LRT dibiayai menerusi pinjaman yang diberikan kepada syarikat khas Special Purpose Vehicle (SPV) kerajaan, pinjaman ini akhirnya dijamin oleh kerajaan dan ia adalah dipersoalkan sama ada (syarikat khas) SPV boleh menampung tanggungan kos yang tinggi.

Oleh itu, katanya adalah penting untuk menurunkan kos.

(Terjemahan harfiah Special Purpose Vehicle (SPV) adalah kenderaan khusus yang digunakan untuk mencapai tujuan tertentu. Dalam dunia perbankan, SPV ialah syarikat khusus yang digunakan sebagai alternatif pihak perbankan dalam penyelesaian hutang bermasalah.)

Kos fasa pertama projek ECRL ialah RM55 bilion dan landasan itu dirancang dibina dari Tumpat di Kelantan di sepanjang pantai Laut China Selatan ke Kuantan di Pahang dan kemudian berpaling ke barat melintasi Banjaran Titiwangsa untuk sampai ke Gombak di Selangor.

Fasa kedua akan menyambung laluan kereta api ke arah barat di Pelabuhan Klang berhampiran Selat Melaka.
 

[Baca berita penuh]