Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan wartawan tuntut rombakan pengarang Utusan
Diterbitkan:  May 30, 2018 4:29 PM
Dikemaskini: Jun 11, 2018 9:42 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) cawangan cawangan Utusan Melayu (M) Berhad memohon Umno merombak jabatan pengarang Utusan Malaysia.

Tuntutan itu dinyatakan melalui memorandum kesatuan bertarikh 26 Mei yang dihantar kepada naib presiden Umno yang menjalankan tugas presiden Datuk Seri Zahid Hamidi pada hari yang sama.

“Kami mohon budi bicara Datuk Seri untuk mempertimbang kehendak akar umbi yang mahu rombakan dilakukan pada kepimpinan Jabatan Pengarang Utusan yang dilihat gagal memenangkan BN dan Umno.

“Selain itu, kami percaya kerugian Utusan selama ini berpunca daripada amalan mismanagement pemimpin pengarang, amalan dibayar orang politik berkepentingan, amalan rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan pendek kata guna Utusan dan kemudahan untuk poket sendiri,” menurut memorandum itu.

Mereka tidak menyebut secara khusus pengarang-pengarang yang dirujuk itu.

Selain Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Datuk Noordin Abbas, NUJ Utusan berpendapat ketua pengarang dan barisan kepimpinan pengarang perlu digantikan dengan individu yang berimej bersih dan berwibawa.

Mereka berpendapat Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Datuk Zaini Hassan sebagai individu yang mampu membawa perubahan terhadap akhbar milik Umno itu.

“Beliau berjiwa Melayu dan mempunyai nama dalam kalangan kepimpinan Umno dan seorang yang bersih.

“Bagaimanapun, kakitangan Utusan tidak menghalang Datuk Seri jika Datuk Seri Amahu meletakkan nama individu lain bagi menggantikan pengerusi kumpulan Utusan yang baru sebagaimana check and balances bagi pengurusan Kumpulan Utusan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi NUJ Utusan Taufik Razak ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kewujudan dan penyerahan memorandum itu tetapi enggan mengulas lanjut.

"Itu sahaja saya boleh komen setakat ini," katanya ringkas.

Pada 12 Mei, tiga hari selepas BN kali pertama hilang penguasaan 60 tahun pentadbiran negara, Pengerusi Kumpulan Utusan Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata Utusan akan terus beroperasi bawah kerajaan Pakatan Harapan tetapi dengan beberapa penyesuaian dan rombakan.

Fatmi yang juga setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak berkata corak laporan dan persembahan kandungan akhbar itu akan diubah supaya lebih matang.


Nota Editor:

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menafikan sekeras-kerasnya kenyataan NUJ berkenaan.

Dalam satu kenyataan media, Utusan berkata dakwaan tersebut merupakan tuduhan serius, tidak benar dan berniat jahat terhadap Utusan Melayu terutamanya Jabatan Pengarang.

Dakwaan itu juga memudarat dan menjejaskan reputasi serta standard tadbir urus korporat dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap urusniaga syarikat.

Malaysiakini berasa kesal atas penyiaran berita tersebut kerana tidak terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada Utusan Melayu sebelum menyiarkannya.

Pihak kami sedar penyiaran berita telah menjejaskan reputasi dan nama baik Utusan Melayu. Kami tidak sewajarnya diheret oleh pihak tertentu dalam isu dan pertikaian dalaman media lain.

ADS