Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ gesa tamatkan budaya parti politik kuasai media

Kerajaan baru sepatutnya memulakan langkah untuk menghalang sebarang parti politik daripada menjadi pemegang saham terbesar dalam organisasi media, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ).

Presiden NUJ Mohd Taufek Razak berkata, ia merupakan satu daripada empat cadangan yang dihantar ketika pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.

"Kami meminta kerajaan untuk mewujudkan peraturan agar parti politik tidak akan dapat 'mengawal' organisasi media.

"Tujuan (cadangan) agar organisasi media dapat diuruskan sepenuhnya oleh (pemilik) media sendiri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, media yang lebih bebas akan memberikan masa depan lebih baik kepada kakitangannya memandangkan survival media akan bergantung kepada strategi perniagaan bukannya kedudukan parti politik.

Pada masa ini, Taufek berkata kerajaan boleh memulakan langkah terhadap Umno sebagai pemegang saham terbesar dalam Utusan Malaysia, dan MCA dalam The Star.

"Mereka (parti) boleh pegang saham tetapi kami mengesyorkan mereka hanya sebagai pemegang minoriti," katanya lagi.

Pertemuan itu berjalan selama 30 minit dan dihadiri anggota majlis - bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aziz, bekas Presiden Petronas Tan Sri Hassan Merican, ahli ekonomi KS Jomo dan wakil kepada hartawan Robert Kuok.

'Tubuhkan majlis media'

Dalam pertemuan itu, Taufek berkata turut membangkitkan gesaan pelbagai kumpulan media agar kerajaan menubuhkan majlis media yang bebas.

Katanya, ia boleh dilakukan dengan memansuh atau meminda undang-undang sedia ada termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Bagi keahliannya pula, Taufek berkata beliau mencadangkan wakil NUJ, kumpulan media tempatan seperti Badan Wartawan Malaysia (IOJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm), Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ahli akademik serta editor daripada semua organisasi media utama.

Bawah kerajaan HARAPAN, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kebebasan media akan ditingkatkan dan undang-undang berkaitan yang menekan akan dimansuh atau dipinda, misalnya PPPA dan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Lihat Komen
ADS