Sumbangan terhadap Tabung Harapan Malaysia akan diberikan potongan cukai, kata Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

"Semua sumbangan terhadap Tabung Harapan Malaysia akan diberi pengecualian cukai.

"Kerajaan menghargai sokongan patriotik anda. Terima kasih, Malaysia!" katanya di Facebook hari ini.

Lim memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah mengesahkan perkara itu dengan pegawai khas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Tony Pua.

Beliau berkata Kementerian Kewangan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan tabung khas itu selepas ramai yang mahu menderma kepada kerajaan bagi membantu kedudukan kewangan negara.

Kerajaan menyalahkan pentadbiran lama yang dikatakan menyebabkan hutang dan beban negara mencecah RM1 trilion.