Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri elak jawab gesaan UiTM dibuka pada bukan bumiputera

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengelak daripada mengulas isu tuntutan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera.

Dalam sidang media di Putrajaya, beliau ditanya tentang gesaan itu yang dibuat kumpulan yang digelarkan sebagai Hindraf 2.0, serta petisyen atas talian membantah cadangan itu yang mendapat 100,000 tandatangan dalam masa 24 jam.

Maszlee pada mula bertanya bagaimana petisyen itu boleh muncul.

Selepas diberitahu ia sebagai respons kepada Hindraf 2.0, beliau berkata: Saya tidak begitu pasti kerana satu-satunya Hindraf yang kita kenal dan kebanyakan kita iktiraf adalah (yang dipimpin) P Waythamoorthy, dan beliau tidak mencadang apa-apa berkaitan UiTM.

"Jadi lebih baik kita kekal dengan fakta dan bukan berita palsu," katanya.

Selepas diminta menjelaskan isu itu tanpa mengambil kira Hindraf 2.0, beliau berkata, "Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari."

Waythamoorthy memimpin Persatuan Hindraf Malaysia yang menjadi rakan strategik Pakatan Harapan (HARAPAN).

Abangnya pula P Uthayakumar mengetuai serpihannya, Hindraf 2.0 yang tidak mempunyai kaitan dengan HARAPAN.

Pada 28 Mei lalu, Hindraf 2.0 menyerahkan memorandum kepada kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) yang antaranya menggesa UiTM dibuka kepada semua kaum.

Sebagai reaksi, Presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) Datuk Mohd Zaini Hassan - juga pembantu ketua editor Utusan Malaysia - memulakan petisyen atas talian bagi menentang cadangan itu.

"PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum.

"Ini berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya petisyen itu.

Setakat ini, dua hari selepas ia dimulakan, petisyen Zaini mendapat 169,250 tandatangan.

Lihat Komen
ADS