Merpati tidak mati kerana selesema burung
Sekumpulan burung merpati yang mati di Kedah dan Perak baru-baru ini disahkan tidak dijangkiti virus selesema burung.
Pengarah Jabatan Haiwan, Hawari Hussein berkata, ujian yang dijalankan adalah negatif dan burung-burung itu tidak mati kerana virus H5N1.

Beliau bagaimanapun menegaskan pihaknya akan terus berjaga-jaga dan memantau semua kematian mengejut unggas-unggas di negara ini kerana wabak tersebut telah dikesan semula di Thailand dan Indonesia baru-baru ini.
Menurut laporan agensi berita AFP, minggu lalu sekurang-kurangnya 11 ekor merpati dijumpai mati di Kedah dan ini menimbulkan kebimbangan tentang penyakit itu telah menular ke negara ini. Selepas itu sekumpulan lagi merpati dijumpai mati di Perak.
Sementara itu Pengarah bahagian kawalan penyakit Kementerian Kesihatan, Dr.Ramlee Rahmat pula berkata, kementerian berkenaan telah mengarah ubat anti-virus diberikan kepada kira-kira 60,000 orang yang berrisiko tinggi dijangkiti penyakit itu andainya wabak selesema burung terjadi.
Kumpulan pertama yang akan merima ubat tersebut ialah kakitangan hospital terutamanya mereka yang bertugas di wad khas, makmal, pusat penyelidikan penyakit serta kakitangan yang mengendalikan unggas-unggas berkenaan.
Sejak selesema burung melanda Asia pada tahun 2003, kira-kira 60 orang telah terkorban. Daripada jumlah itu, 13 kematian berlaku di Thailand.