Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berharap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membahaskan laporan tahunannya dalam sesi Parlimen yang dijangka diadakan bulan ini.

Sekiranya perkara itu dilaksanakan, ia merupakan kali pertama dalam tempoh 16 tahun laporan tahunan suruhanjaya itu dibincangkan di Parlimen, kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Razali juga meminta prosedur yang tidak perlu seperti keperluan mendapatkan sokongan kabinet sebelum laporan itu dibentangkan dikaji semula dalam usaha mewujudkan kerjasama dengan parlimen seperti dilakukan di negara demokrasi lain.

"Sebelum ini Suhakam mesti mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Pejabat Perdana Menteri, sebelum laporan itu boleh dibawa ke Parlimen.

"Suhakam mengulangi bahawa parlimen berkongsi tanggungjawab untuk mempromosikan, melindungi, menghormati dan memenuhi kewajipan hak asasi manusia di Malaysia dan mesti menyedari sepenuhnya peranan penting dalam perlindungan hak asasi manusia," katanya.

Razali turut menarik perhatian terhadap cadangan Suhakam pada 2011 bagi penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai hak asasi manusia sebagai langkah tambahan memperteguhkan demokrasi berparlimen.

Di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Suhakam perlu mengemukakan laporan tahunannya kepada parlimen berhubung semua aktiviti dan tindakan yang diambil serta cadangan suruhanjaya itu.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menyokong agar laporan tahunan Suhakam dibahaskan di Parlimen, tetapi ditolak oleh kerajaan BN sebelum ini.