Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada tol antara plaza Sg Besi hingga simpang jalan Klang Lama-Taman Desa
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 2:11 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Tiada lagi kutipan tol bagi laluan di antara Plaza Tol Sungai Besi sehingga persimpangan Jalan Klang Lama-Taman Desa, kendalian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan susulan hari ini berkata sehingga 31 Mei lepas kutipan tol berkenaan dibuat oleh PLUS bagi pihak Metramac yang merupakan pemegang konsesi bagi lebuh raya berkenaan.

"Berkuat kuasa 1 Jun 2018, tiada lagi bayaran tol dikutip oleh PLUS bagi pihak Metramac. Pemberhentian kutipan tol ini adalah berikutan berakhirnya konsesi Lebuhraya Metramac semalam (31 Mei) seperti dijadualkan,” katanya.

Sehubungan itu, dengan penamatan tempoh konsesi itu, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi di Lebuhraya PLUS ke destinasi Utara sehingga Juru atau destinasi Selatan sehingga Skudai dikurangkan di antara 40 sen sehingga RM1.70 bergantung pada kelas kenderaan.

"Penamatan ini sekali gus akan memberi manfaat kepada hampir 130,000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari. Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja," kata kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar baharu tol menerusi laman web di www.plus.com.my atau aplikasi PLUS Mobile App.

Pengguna turut dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan lancar ke destinasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS