Penduduk protes di Komtar, gesa campur tangan KM
Sekumpulan penduduk dari Padang Tembak, Air Itam mengadakan protes aman hari ini di Aras 3 bangunan Komtar yang menempatkan pintu masuk ke pejabat kerajaan negeri.
Himpunan itu diadakan bagi mendesak ketua menteri yang baru, Chow Kon Yeow menghalang mereka diusir dari rumah masing-masing.
Dipimpin oleh penyelaras jawatankuasa projek perumahan awam Padang Tembak, Kathiges Rajamanickam, kumpulan yang mewakili 15 keluarga itu membawa plakad antara lain berbunyi "Orang miskin juga perlu rumah", "Kami mahu bertemu Jagdeep", dan "Mari bincang".
Jagdeep Singh Deo merupakan exco Bandar, Desa dan Perumahan Pulau Pinang
Penduduk yang terjejas tinggal projek perumahan awam di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Kathiges berkata kumpulan itu berusaha bertemu pegawai kerajaan negeri sejak mereka menerima notis pengusiran pada 29 Disember tahun lepas.
"Kami hanya perlu satu pertemuan sama ada dengan Jagdeep atau ketua menteri supaya kami dapat menceritakan nasib kami kepada mereka, dan meminta bantuan mereka untuk membantu kami menyelesaikan pengusiran yang dihadapi keluarga, orang-orang ini mempunyai hak untuk rumah mereka," kata Kathiges ketika dihubungi Malaysiakini.

