Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan anak muda Kelantan bertemu Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi mendesak anggota Majlis Tertinggi Umno itu bertanding jawatan presiden pada pemilihan akan datang.

Jika Mustapa keberatan berbuat demikian, mereka berharap agar beliau sekurang-kurangnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Pertemuan dibuat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu lewat petang semalam, melibatkan kira-kira 50 orang daripada Pemuda Umno, kumpulan belia dan mahasiswa.

Jurucakap kumpulan Muhammad Rudin Siru berkata, desakan itu kerana yakin dengan kewibawaan Mustapa untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno.

"Tok Pa sentiasa konsisten dalam kerjanya selain imej bersih dan bebas daripada sebarang kontroversi, serta disegani kawan dan lawan.

"Sepanjang berkhidmat, beliau menunjukkan wibawa dan kredibiliti dalam membantu membangunkan ekonomi negara," katanya yang juga anggota Pemuda Umno.

Sepanjang dalam kerajaan, Mustapa pernah memegang portfolio Kewangan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan yang terakhir Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Selepas tewas dalam PRU ke-14, Umno meninggalkan tradisinya dengan membuka pertandingan buat dua jawatan tertinggi parti itu.

Setakat ini, hanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan bertanding bagi jawatan presiden dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai timbalan presiden.

Muhammad Rudin berkata lagi, Umno tidak lagi boleh diterajui "golongan elit dan bangsawan".

Beliau turut menamakan beberapa pemimpin parti yang dilihat sesuai bergandingan dengan Mustapa, antaranya bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Lihat Komen
ADS