Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jamal 'meriahkan' perebutan jawatan ketua Pemuda Umno
Diterbitkan:  Jun 3, 2018 3:27 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Pemimpin Umno yang kini dikehendaki polis Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos, menawarkan diri menjadi ketua pemuda parti itu dalam pemilihan akan datang.

Pengumuman itu dibuat melalui kemas kini hantaran di Facebook Umno dan Jamal sendiri.

Kata Jamal keputusan bertanding bagi jawatan ketua pemuda dibuat ialah untuk membina semula "semangat perjuangan" parti itu yang ditolak majoriti pengundi dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

"Tujuan saya menawarkan diri adalah untuk membina kembali semangat perjuangan semua ahli Umno seluruh Malaysia, terutama pemuda untuk bersama meneruskan perjuangan ini," katanya.

Selain menjadi ketua Umno Sungai Besar, Jamal dikenali dengan siri aksi pegun yang menarik perhatian ramai. Misalnya bertuala di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam semasa sebahagian Selangor berdepan masalah air, serta mengadakan demonstrasi di luar bangunan Malaysiakini.

Terkini Jamal, 48, melarikan diri daripada jaminan ketika dia disiasat berhubung dakwaan kesalahan jenayah. Kali terakhir Jamal membuat kemunculan ialah melalui satu klip video yang dirakam dalam kebun kelapa sawit.


Baca Rayuan Jamal dari ladang sawit: Jangan zalimi saya, Tan Sri


Pada 1 Jun lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihak berkuasa kini memiliki waran tangkap untuk menahan Jamal.

Nama-nama calon untuk dipertandingkan dalam pemilihan Umno perlu dikemukakan pada 23 Jun ini.

Sebelum ini jawatan ketua Pemuda Umno turut menarik minat bekas calon BN bagi kerusi parlimen Pasir Puteh Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. Seorang lagi tokoh yang mengintai peluang ialah naib ketua sekarang Khairul Azwan Harun.

Penyandang jawatan ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disebut-sebut bakal menjadi salah seorang calon untuk jawatan naib presiden.

Kata Jamal, keputusan menawarkan diri itu dibuat selepas mendapat pandangan daripada "rakan-rakan seperjuangan".


Baca Jamal tunjuk bukti layak jadi ketua pemuda


"Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat," katanya.

Untuk rekod sebelum ini pun Jamal pernah menyatakan hasratnya mahu bertanding bagi jawatan ketua Pemuda Umno.

Bagaimanapun pengumuman itu dibuat dalam keadaan yang berbeza, apabila ketika itu Umno belum kehilangan kuasa.

Lihat Komen
ADS