Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis keluar waran tangkap ke atas Jamal
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 3:16 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos selepas Ketua Umno Sungai Besar itu gagal menyerahkan diri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Jamal diberi masa secukupnya untuk menyerah diri dan memberi kerjasama dalam siasatan terhadapnya.

"Namun beliau tetap gagal (serah diri) dan sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang cuba menggambarkan keselamatan diri beliau terancam," katanya.

Fuzi meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi Jamal dapat berhubung dengan polis di balai yang berdekatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Jamal sudah disenaraihitam daripada ke luar negara.

Ia berikutan spekulasi menyatakan ahli politik kontroversi itu telah lari ke Indonesia.

Mustafar bagaimanapun berkata setakat ini tiada rekod menunjukkan Jamal sudah meninggalkan negara.

Jamal didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas beliau memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Jamal juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Beliau didakwa minggu lalu ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri ekoran sakit belakang, tetapi menghilangkan diri sebelum proses ikat jamin selesai.

Muncul semula dua hari kemudian, beliau menafikan melarikan diri dan berkata hanya ke Lembaga Tabung Haji untuk mengeluarkan wang bagi menanggung kos ikat jamin dan kesnya.

Dalam kenyataan media Selasa lalu, beliau berjanji akan menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya keesokannya, tetapi gagal berbuat demikian.

Sebaliknya beliau muncul dalam rakaman video di sebuah ladang kelapa sawit di lokasi yang tidak diketahui, antaranya mendakwa keselamatannya terancam dan menuduh kerajaan menjadikannya sebagai mangsa.

Lihat Komen
ADS