Pakar bom, Dr Azahari Husin dilaporkan terbunuh
Pakar bom dan anggota militan Islam Dr Azahari Husin, yang didakwa bertanggungjawab dalam siri pengeboman di Indonesia, termasuk pengeboman Bali yang mengorbankan 202 orang, telah meletupkan dirinya selepas dikepung oleh pasukan polis republik tersebut.
Pakar bom dan anggota militan Islam Dr Azahari Husin, yang didakwa bertanggungjawab dalam siri pengeboman di Indonesia, termasuk pengeboman Bali yang mengorbankan 202 orang, telah meletupkan dirinya selepas dikepung oleh pasukan polis republik tersebut.
Azahari, rakyat Malaysia yang menganggotai Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda, dilaporkan meletupkan dirinya selepas berlaku kejadian tembak menembak dengan polis di tempat persembunyiannya di Batu di Jawa Timur.
Jika laporan itu disahkan, kematiannya merupakan satu kejayaan besar bagi pasukan keselamatan Indonesia dalam memerangi JI yang turut disyaki melakukan satu lagi pengeboman di pulau peranginan Bali bulan lalu.
Wartawan Indonesia, Karni Ilyas, yang turut bersama unit anti-keganasan Indonesia ketika ia mengempur rumah Azahari, memberitahu saluran televisyen ANTV bahawa Azahari sudah mati.
"Badannya berkecai tetapi mukanya masih boleh dikenalpasti oleh dua anggota unit anti keganasan dari Jakarta itu," kata Ilyas.
"Dia telah meletupkan dirinya bersama rumahnya," katanya.
Jurucakap Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata: "Ia masih belum dapat disahkan yang Azahari berada dalam rumah itu." Pihak polis juga tidak dapat dihubungi mengenainya.
Anggota polis cedera
Azahari dan seorang lagi rakannya, Noordin Mohammad Top juga rakyat Malaysia merupakan orang yang paling dikehendaki kerana terbabit dalam pengeboman Bali serta beberapa lagi siri letupan, termasuk satu lagi letupan di Bali bulan lalu.
Ilyas berkata, penghuni rumah di Batu itu, yang terletak kira-kira 700 km di timur Jakarta, melepas tembakan apabila pihak polis mengarahkan mereka menyerah diri.
Tembakan itu telah mencederakan seorang anggota polis, sebelum penghuni rumah tersebut meletupkan diri bersama rumah berkenaan.
Anggota polis yang memasuki rumah tersebut kemudiannya, menemui tiga mayat serta wayar, menyebabkan mereka keluar semula kerana bimbang akan berlaku lagi letupan, katanya.
Manakala agensi berita Antara pula melaporkan bahawa Ketua Polis Indonesia, Jeneral Sutanto tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9:30 malam.
Azahari, yang berusia dalam lingkungan 40-an, belajar selama empat tahun di Australia pada lewat 1970-an dan menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia sebelum melarikan diri ketika pihak berkuasa melancarkan gerakan menangkap anggota militan Islam pada 2001.
Cuba letup bom
Walaupun ada laporan yang mengadakan Azahari dilatih membuat bom di Afghanistan, tetapi dia dipercayai mempelajari kepakaran itu daripada puak pemisah Islam di Mindanao di selatan Filipina pada 1999.
Menurut pihak berkuasa, Azahari dipercayai menggantikan ketua operasi JI, Hambali seorang rakyat Indonesia yang diberkas di Thailand pada 2003 dan kini berada dalam tahanan pihak Amerika Syarikat.
Azahari dan Noordin berjaya melepaskan diri ketika dikepung oleh pihak berkuasa Indonesia di Bandung di kepulauan Jaya pada 2003
Ilyas berkata, polis juga berjaya mengekori seorang lagi lelaki yang meninggalkan sebuah rumah di Batu, menuju ke ibu negeri wilayah Jawa Tengah Semarang yang dipercayai wakil yang dihantar untuk menemui Noordin.
"Lelaki itu dipercayai menyedari dia sedang diekori dan berikutan itu cuba meletupkan bom yang dipasang pada dirinya, tetapi polis berjaya menghalangnya berbuat demikian," kata Ilyas.
Katanya, dua orang lelaki yang menaiki motosikal yang dipercayai menemui wakil tersebut, melepas tembakan ke arah polis. Seorang daripadanya berjaya ditangkap.
Seorang kakitangan hospital memberitahu AFP bahawa seorang anggota polis telah dimasukkan ke hospital di bandar Malang itu, kerana kecederaan tembakan di kaki kirinya.
AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.