Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN tak mungkiri manifesto kalau Tommy jadi AG
Diterbitkan:  Jun 4, 2018 8:28 AM
Dikemaskini: 12:32 AM

Cadangan kerajaan melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara (AG) tidak menyimpang daripada ikrar dibuat Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam manifesto mereka, kata seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menurut Hanipa Maidin, dakwaan bahawa jika Tommy dilantik akan meletakkan HARAPAN melanggar manifesto itu dibuat mungkin kerana kekeliruan orang ramai kepada struktur amalan demokrasi di negara ini.

Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan mengikut tafsiran perlembagaan negara, institusi parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Ramai yang menganggap parlimen ialah semata-mata Dewan Rakyat. Tanggapan itu bukan salah, tapi tak tepat.

"Ya, Dewan Rakyat adalah sebahagian daripada komponen parlimen, tapi parlimen bukan sekadar Dewan Rakyat semata-mata," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kerajaan menamakan Tommy - seorang peguam kanan - sebagai calon tunggal bagi mengisi jawatan peguam negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang ditamatkan khidmatnya baru-baru ini.

Penamatan tugas Apandi diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mei lalu.

Memang setakat ini peguam

Apandi dilantik sebagai peguam negara bagi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatannya - atas "faktor kesihatan" - pada 27 julai 2015 ketika skandal 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd serta "derma" bernilai RM2.6 bilion sedang hangat disiasat.

Apandi sepatutnya bertugas sebagai peguam negara sehingga 2021 apabila kerajaan ketika itu - BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak - menyambung khidmatnya selama tiga tahun lagi mulai 8 April 2018.

Berdasarkan janji HARAPAN, gabungan PKR, AMANAH, DAP dan BERSATU itu berikrar untuk melantik peguam negara daripada kalangan anggota parlimen yang berkelayakan.

 

Pada janji ke-15 manifesto itu - di bawah tajuk Memisahkan Pejabat Pendakwa Raya Negara Daripada Pejabat Peguam Negara, HARAPAN menyatakan:

Peguam negara akan dilantik daripada kalangan anggota parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.

Jawatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian.

Beliau akan mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan, iaitu sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang demokrasinya lebih matang.

Menurut Hanipa jika Tommy akhirnya diterima sebagai peguam negara, ia masih tidak membuat HARAPAN menyimpang daripada manifesto mereka.

Anggota parlimen Sepang itu menjelaskan memang pada waktu ini Tommy sekadar seorang peguam namun itu tidak bermakna dia tidak boleh menjadi anggota parlimen.


Baca Apandi Ali boleh didakwa kes SRC, kata Hanipa


"Meskipun tidak menjadi anggota Dewan Rakyat, beliau masih boleh dilantik menjadi senator, sekali gus dikira seorang anggota parlimen juga.

"Cuma, ia dikenali sebagai senator atau anggota Dewan Negara. Tapi ia masih dikira anggota parlimen.

"Jadi, bagi saya, HARAPAN pada hakikatnya tidak menyimpang daripada manifesto," katanya.

Pada masa sama Hanipa turut menyatakan rasa gembiranya kerana kini rakyat begitu mengambil berat mengenai pelantikan peguam negara serta janji dibuat HARAPAN dalam manifesto mereka.

"Bagi saya, ini satu petanda baik kepada negara dan sistem demokrasi. Syabas rakyat Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS