Seorang penyokong reformasi Alias Md Din mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ketika menyertai sambutan hari lahir bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Buluh semalam.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi bagaimanapun memutuskan Alias dibebaskan dengan amaran selepas mendengar rayuan peguam tertuduh.

Beliau dituduh mengikut seksyen 21 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil. Menurut akta itu, seseorang boleh didenda tidak kurang RM25 atau dipenjara tidak lebih 14 hari.

Alias diwakili tiga peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Wan Ahmad Razali Wan Abdul Kadir. Dalam rayuannya, Mohd Yusmadi meminta hukuman diringankan dengan alasan anak guam mereka berniat baik untuk menyertai sambutan ulang tahun hari jadi ke-54 Anwar bersama penyokong-penyokong yang lain dan kesalahan ini pertama kali dilakukannya.

Alias ditangkap kira-kira jam 11.30 pagi semalam ketika menyertai beberapa ratus penyokong Anwar bergerak beramai-ramai dengan 200 kenderaan ke penjara tetapi dihalang oleh sepasukan polis di sebatang jalan di Bandar Baru Sungai Buluh sehingga menimbulkan sedikit ketegangan.

Beliau kemudian ditahan di lokap balai polis berdekatan sebelum dihadapkan di mahkamah pagi ini.