Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lantik AG: Muhyiddin harap PM dan istana selesai cara bijaksana
Diterbitkan:  Jun 4, 2018 2:33 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap isu pelantikan peguam negara yang baru yang melibatkan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong dapat diselesaikan dengan bijaksana.

"Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan bijaksana, pihak perdana menteri dan kerajaan dengan pihak istana.

"Saya dimaklumkan ada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan mungkin itu boleh membantu dari segi menyelesaikan kalau ada pun kelewatan dari segi pelantikan AG," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin juga berkata jemaah menteri HARAPAN memberi sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakan peguam kanan, Tommy Thomas bagi menjalankan tugas sebagai AG menggantikan Apandi.

"Bagi pihak jemaah menteri kami memberi sokongan padu pada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kerana ini salah satu daripada langkah yang amat penting untuk menentukan proses penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain lagi akan dapat dilaksanakan.

Mesyuarat Raja-Raja Melayu

"Kerana di hadapan kita ada berbagai-bagai isu dan masalah besar negara.

"Saya tak fikir ia (pelantikan AG) akan jadi isu berlarutan yang tak dapat diselesaikan," katanya.

Bagaimanapun proses pelantikan peguam negara yang baru dilaporkan mencapai kebuntuan ekoran kehendak Majlis Raja-raja yang mahukan jawatan AG diberikan kepada peguam beragama Islam.

Semalam Dr Mahathir berkata usaha sedang dijalankan kerajaan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan perbincangan khas berkenaan jawatan peguam negara pada Selasa ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan semalam berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.

Syed Danial berkata ketika ini kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang serta calon penggantinya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin isu pelantikan Peguam Negara dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak istana.

Beliau berkata kemungkinan terdapat sedikit masalah berkenaan perkara terbabit tetapi kepimpinan baharu Pakatan Harapan mahu melihat segala bentuk kerjasama antara semua pihak yang terlibat dapat  diselesaikan dengan baik.

“Saya dimaklumkan ada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan mungkin itu boleh bantu dari segi selesaikan isu berkenaan… bagi pihak jemaah menteri kami memberi sokongan yang padu kepada Perdana Menteri ,” katanya pada sidang media  selepas mengadakan lawatan rasmi di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelantikan Peguam Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang diarahkan bercuti.

Beberapa portal berita melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menolak calon yang dicadangkan kerajaan pusat itu. 

Laporan itu juga menyebut Raja-raja Melayu turut menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak calon yang dicadangkan kerana bukan Melayu dan tidak beragama Islam.

Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan semalam menyatakan Raja-raja Melayu akan mengadakan perbincangan khas berhubung isu itu di Istana Negara, esok. 

Mengulas kelewatan pembentukan kabinet penuh, Muhyiddin berkata beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

“Pembentukkan jemaah menteri adalah bidang kuasa Perdana Menteri...ia akan dilakukan mungkin dalam minggu ini..bila harinya tidak pasti,” katanya. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kes pegawai tinggi polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhyiddin berkata pihaknya tidak campur tangan mengenai perkara itu.

“Kalau ia babitkan lain-lain agensi, termasuklah SPRM, kita takkan campur tangan. Pihak agensi dan pihak berkuasa tertentu ada hak untuk bertindak kalau mereka mempunyai bukti...kalau ada tindakan, pihak berkuasa sini (polis) akan berikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Sabtu lepas, Bernama melaporkan bahawa dua pegawai Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman ditahan SPRM bersama wang tunai keseluruhannya kira-kira RM1.5 juta pada Khamis lepas.

Lihat Komen
ADS