Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Buka puasa bersama bukti keakraban Dr M- Anwar'
Diterbitkan:  Jun 6, 2018 10:59 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Ahli jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluangkan masa berbuka puasa bersama semalam adalah bukti hubungan kedua-dua pemimpin itu dalam keadaan baik.

Khairuddin berkata demikian sebagai menafikan spekulasi yang mengatakan hubungan Dr Mahathir dan Anwar berlawanan arus.

"Kita harus bersyukur kerana perpaduan sesama pemimpin di dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) pada realitinya amat akrab serta tulen.

"Hakikatnya, masa kini Anwar turut memainkan peranan proaktif mengikut caranya tersendiri ke arah menguatkan kedudukan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan bagi menjaminkan kesejahteraan masa depan bangsa serta negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin menambah, keduda-dua pemimpin itu komited dalam agenda membangunkan semula negara Malaysia mengatasi agenda politik peribadi.

Khairuddin merujuk gambar yang dimuat naik Anwar di Facebook semalam yanga memaparkan kedua-dua pemimpin itu bersama isteri masing-masing berbuka puasa bersama.

Spekulasi sebelum ini mengatakan Anwar tidak sabar menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Antara lain, spekulasi itu dikaitkan dengan pertemuan Anwar dengan pihak istana termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam wawancara bersama Malaysiakini turut menafikan spekulasi itu dan menegaskan bahawa suaminya komited dengan kepimpinan Dr Mahathir.

 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS