Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan: Bernama 'aneh', kami tak rasis
Diterbitkan:  Jun 6, 2018 11:46 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Utusan Malaysia menyifatkan tindakan agensi berita nasional Bernama melaporkan kenyataan dua bekas ketua pengarang kumpulan akhbar itu yang membidas mereka sebagai “aneh”.

Pengarang kanan Utusan Malaysia Zulkiflee Bakar berkata tuduhan rasis yang dilemparkan kerana melaporkan isu pelantikan peguam negara juga “boleh dianggap keterlaluan”.

Katanya, laporan sama, termasuk yang mempersoalkannya, turut disiarkan media lain.

“Soalnya, kenapakah Utusan Malaysia sahaja menjadi sasaran? Apakah agenda kedua-dua tokoh wartawan berkenaan?” soalnya.

Dalam kenyataan keras semalam, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Johan Jaaffar berkata Utusan masih terperangkap dalam "kepompong sempit dan penuh prasangka" serta menampakkan pendirian rasis.


Baca: Utusan dikecam 2 bekas ketua pengarangnya


Mereka mendakwa Utusan bermain api dengan cuba menyemarakkan sentimen kebencian dan keresahan orang Melayu serta orang Islam mengenai pelantikan seorang bukan Melayu dan bukan Islam sebagai peguam negara.

Cara Utusan Malaysia, menurut mereka, memberikan gambaran seolah-olah Islam dan kepentingan Melayu akan terjejas dengan pelantikan peguam kanan Tommy Thomas.

Dalam “analisis” di akhbar itu hari ini, Zulkiflee juga membangkitkan “era baru kebebasan media” yang membolehkan pelbagai pendapat disiarkan asalkan berdasar hujah dan fakta.

“Apakah oleh kerana kita berada di alam Malaysia baharu maka soal kepentingan orang Melayu sudah dianggap tidak lagi relevan untuk dibicarakan?” soalnya.

“Bagaimana pula dengan portal berita dan akhbar tertentu yang sebelum ini turut dilihat rasis dalam laporan mereka?

“Kenapa mereka tidak dibidas atau dikritik apatah lagi dituduh rasis seperti mana dialami oleh Utusan?”

Zulkiflee menegaskan melangkah ke era baru tidak bermakna Utusan perlu berundur meninggalkan “perjuangan demi membela orang Melayu dan Islam serta menghormati kepentingan kaum lain”.

“Sememangnya perjuangan tersebut akan diteruskan kerana ia bersesuaian dengan sikap terbuka kerajaan hari ini.

“Namun begitu perjuangan tersebut akan dilakukan secara berhemah dan rasional bukannya seperti mana tulisan-tulisan dalam laman sosial seperti Twitter yang menyerang Utusan penuh emosi dan dangkal,” katanya.

Lihat Komen
ADS