Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perlis akan hadir untuk mengangkat sumpah sebagai Exco pada minggu depan, kata Setiausaha Umno negeri Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Namun, katanya, pihaknya akan tetap membawa pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar ke mahkamah.

"Mereka (yang terpilih sebagai Exco) akan mengangkat sumpah, semua akan ikut titah Tuanku (Raja Perlis). (Pada masa sama) kita tetap dengan pendirian (untuk melalui proses undang-undang)," katanya kepada Malaysiakini.

Perlis merupakan satu-satunya negeri yang masih belum memiliki Exco ekoran bantahan sembilan ADUN BN terhadap pemilihan Azlan.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber yang berkata BN Perlis akan membawa isu itu ke mahkamah ekoran pelantikan Azlan yang didakwa bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

Menurutnya, Fasal 39(6) menyatakan menteri besar harus meletak jawatan jika tiada sokongan.

Sementara proses perundangan berjalan, Zahidi berkata pihaknya akan memutuskan tindakan berdasarkan perkembangan selanjutnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad bahawa sembilan ADUN BN Perlis akhirnya akur dengan pelantikan Azlan, menandakan tamatnya kemelut itu.

"Kami tidak mahu kemelut ini berpanjangan dan supaya sebuah kerajaan negeri yang sempurna (dengan pelantikan Exco) dapat dibentuk segera. Kita jangka (pelantikan) boleh dilakukan pada minggu depan,” katanya seperti dipetik.

Apa yang selesai?

Zahidi bagaimanapun berkata kenyataan itu hanyalah pandangan peribadi Asmaiza dan tidak mewakili ADUN BN negeri itu.

"Dia tak boleh buat keputusan, apa jawatan dia? Dia kata selesai tetapi apa yang selesai?

"Majlis angkat sumpah selesai tetapi perkara lain belum," katanya.

Pada 24 Mei lalu, semua ADUN BN negeri itu bertindak memulaukan majlis angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar bagi penggal kedua.

Malah keesokannya mereka membuat laporan polis terhadap Azlan kerana memperkenalkan diri sebagai menteri besar dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri.

 

Lihat Komen
ADS