Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad daripada dakwaan hasutan dalam kes kenyataannya terhadap Majlis Agama Islam Selangor dan Sultan Selangor pada 2014.

Menurut peguamnya Hanipa Maidin, Hakim Rohatul Akmar Abdullah mendapati tiada kes prima facie terhadap Khalid, justeru tidak perlu membela diri.

"Maka Khalid dibebaskan daripada dakwaan," kata Hanipa yang juga Anggota Parlimen Sepang kepada Malaysiakini.

Khalid didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut di lobi Parlimen pada 11.30 pagi pada 17 Jun 2014.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang boleh membawa hukuman penjara atau denda jika didapati bersalah.

Rohatul berkata mahkamah melihat kenyataan Khalid sebagai cadangan, bukannya hasutan.

Hanipa berkata bawah peguam negara baru Tommy Thomas, pihak pendakwaan tidak akan merayu keputusan itu.

Khalid pula berkata beliau berharap tiada lagi individu yang disiasat kerana didakwa menghasut.

"Saya harap saya orang terakhir yang didakwa (bawah dakwaan ini)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS