Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Polis tak patut siasat Kadir Jasin'
Diterbitkan:  Jun 8, 2018 1:49 PM
Dikemaskini: Jun 9, 2018 6:20 AM

Tindakan pihak polis menyiasat bekas ketua pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Kadir Jasin di bawah Akta Hasutan mendapat kritikan beberapa pihak.

Antaranya, bekas pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar yang tampil membela Kadir dengan kenyataan berdasarkan semangat setia-kawan bidang kewartawanan.

"Saya terganggu oleh kenyataan yang dibuat oleh IGP bahawa wartawan veteran Datuk Kadir Jasin akan disiasat di bawah Akta Hasutan.

"Hakikatnya, kita hidup di Malaysia yang berbeza hari ini.

"Tiada warganegara yang harus diancam dan terancam oleh undang-undang untuk membungkam mereka yang ingin bercakap," kata Johan yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan.

Johan (gambar) juga berkata tindakan polis menyiasat atau mendakwa Kadir jika perlu boleh dibuat menggunakan undang-undang lain.

"Polis perlu mengambil kira agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mengkaji atau menghapuskan undang-undang dan peruntukan di bawah undang-undang tertentu yang menentang semangat kebebasan bersuara dan keterbukaan baru.

"Terdapat banyak undang-undang lain yang boleh digunakan ke atas Kadir jika perlu, tetapi menyiasat atau mendakwa Kadir di bawah Akta Hasutan bertentangan dengan semangat Malaysia hari ini," katanya.

Manakala itu kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) menggesa pihak polis menghentikan penyiasatan terhadap Kadir kerana undang-undang berkenaan sedang menunggu untuk dimansuhkan kerajaan HARAPAN.

"LFL mendesak IGP supaya menghentikan penyiasatan yang tidak perlu terhadap bekas wartawan A Kadir Jasin di bawah undang-undang yang sedang menunggu pemansuhan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru.

"Hanya kerana beberapa kumpulan 'kumpulan kanan' menyerahkan laporan polis, ini tidak bermakna polis mesti tergesa-gesa memulakan siasatan yang tidak perlu dan membazir."

Akta Hasutan taktik lama BN

"Taktik lama zaman BN menggunakan siasatan polis untuk mengawal dan menegah perbincangan awam tidak lagi boleh diterima," kata pengasas LFL, peguam Latheefa Koya dalam suatu kenyataan.

LFL menjelaskan saman fitnah awam boleh difailkan terhadap Kadir, tetapi berkata tiada apa-apa jenayah dalam catatan blognya mengenai Yang di-Pertuan Agong.

Dalam catatan blognya, Kadir menulis pihak istana tidak perlu risau mengenai kedudukan mereka disebabkan kerajaan sering kali memberikan peruntukan besar.

Kadir memetik sejumlah RM256.9 juta yang telah diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk 16 bulan menjelang April tahun ini.

"Mengulas kontroversi sekitar pelantikan pakar perlembagaan Tommy Thomas sebagai peguam negara, Kadir dalam artikel itu berkata Raja-raja Melayu yakin dan tidak merasakan kedudukan mereka tergugat.

"Selama 16 bulan sehingga April tahun ini, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan tempat tinggal, istana, barangan peribadi, pengangkutan dan kapal terbang, peralatan dan latihan pengiring, pakaian dan barangan upacara, hadiah dan cenderamata, lawatan luar negara dan gaji pekerja istana," tulis Kadir.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sumber maklumat itu.

Menurut Perbendaharaan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setiap tahun kepada YDPA.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik wartawan veteran dan pemimpin BERSATU itu berkata Kadir patut lebih tertib dan menunjukkan penghormatan.

Bekas wartawan itu pula berkata jika ada maklumat palsu di dalam blognya, maka beliau harus tegur kesilapannya dengan fakta yang betul, tetapi beliau berkata tidak mahu memulakan polemik yang tidak perlu dengan Anwar.

Lihat Komen
ADS