Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara yang paling menjadi pantang kepada penyokong politik Melayu khususnya Umno ialah pemimpin yang sombong dan suka mungkir janji.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata menjaga politik orang Melayu tidaklah susah sangat tetapi kedua-dua faktor itu perlu diberi perhatian sekiranya mahu menjadi wakil rakyat dengan lebih lama.

"Saya sudah perhati ada banyak wakil rakyat sombong dan membuat pelbagai janji seperti peruntukan tetapi tak ditunaikan. Akhirnya wakil rakyat seperti ini lupus dan gulung tikar selepas jadi wakil rakyat dalam sepenggal sahaja," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Seremban, di seremban semalam.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Umno Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail.

Oleh itu, beliau berkata petua politik untuk kekal menjadi wakil rakyat ialah jangan mungkir janji dan jangan sombong.

Menurut laporan Bernama, Najib juga menegur sesetengah pemimpin yang bersikap kurang elok ketika bersalaman.

Katanya, jangan bersalam dengan tidak mahu melihat kepada orang yang disalam dan sesetengah pemimpin pula tidak suka atau tidak selesa ditemui masyarakat di kawasannya.

Najib berkata ada seorang wakil rakyat yang hanya mampu bertahan selama sepenggal sahaja kerana sikap enggan bertemu masyarakat dengan menyorokkan kereta di belakang rumah akhirnya memakan diri sendiri.

Penyokong akar umbi

Katanya, antara petua lain yang diamalkan selepas berkecimpung dalam politik negara hampir 28 tahun ialah beliau tidak pernah melawan jawatan yang lebih tinggi dipegang orang lain melainkan jawatan itu kosong dan barulah bersedia untuk menawarkan diri.

Beliau berkata sifat sedemikian seterusnya tidak memberi ancaman kepada pemimpin atasan.

"Masyarakat atau penyokong di akar umbi juga perlulah faham dan perhatikan betul-betul kata pemimpin itu. Kalau dia cakap saya timbang bukan bermakna ia sudah lulus. Kalau sudah lulus itu dia akan cakap saya akan lulus peruntukan. Pemimpin pula juga perlu menyusun jawapan dengan baik kepada masyarakat yang memohon bantuan," katanya.

Beliau berkata dalam politik juga tidak sunyi dengan jatuh bangun tetapi apa yang paling penting ialah cekal menghadapi sebarang kesusahan dan perbezaan dengan pemimpin parti.

Najib berkata beliau sendiri pernah menghadapi situasi sedemikian pada pilihan raya umum 1999 dengan menang majoriti kecil 241 undi di kerusi Parlimen Pekan tetapi berkat usaha gigih pilihan raya umum tahun lepas beliau menang dengan majoriti berganda sebanyak 22,922 undi.

Katanya, begitu juga dengan apa yang terjadi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah dibuang parti dan perselisihan pendapat dengan pemimpin Umno yang dihadapi Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada suatu ketika dulu.

"Apa yang diingatkan oleh Abdullah kepada Najib ialah sebagai anggota parti kita boleh berselisih pendapat tetapi jangan sekali-kali mengkhianati Umno," tegas beliau.