Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Otai Reformis beri kata dua pada MB Perak
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 12:14 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Sebuah kumpulan menggelar diri mereka Otai Reformis 98 memberi tempoh seminggu kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bagi menjelaskan tindakannya yang dianggap mengkhianati perjuangan mereka melawan Umno dan BN.

Dalam satu kenyataan kumpulan itu antara lain mempertikaikan bagaimana Ahmad Faizal boleh melantik bekas pemimpin Umno Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai penasihat menteri besar dan kedudukan itu bertaraf exco.

Setiausaha Otai Reformis 98 Akhi Nosa Iskandar berkata pihaknya juga tidak dapat memahami tindakan Ahmad Faizal mengambil pemimpin Umno lain untuk diberikan jawatan dalam kerajaan negeri.

"Pelantikan itu mengkhianati perjuangan kami yang menentang Umno dan BN sejak 1998," katanya.

Ahmad Faizal ialah Pengerusi Pakatan Harapan Perak merangkap pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri yang dilantik menjadi menteri besar selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Pelantikan itu berjaya dibuat selepas Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berpuas hati HARAPAN mendapat kerusi majoriti di dewan undangan negeri (DUN).

Asalnya berlaku kebuntuan apabila HARAPAN tidak mendapat kerusi yang meyakinkan apabila memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN Perak.

Mahu Anwar campur tangan

BN memenangi 27 kerusi lagi manakala PAS cuma tiga. HARAPAN akan hilang majoriti di DUN Perak jika BN bersekutu dengan PAS.

Bagaimanapun penyelesaian ditawarkan PAS tidak mendapat sambutan, manakala dua daripada ADUN BN mengisytiharkan diri mereka menyokong HARAPAN.

Seorang daripada mereka ialah Zainol Fadzi yang juga ADUN Sungai Manik. Dia kemudian dipecat daripada Umno.

Ekoran perkembangan itu Ahmad Faizal mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 12 Mei.

Pelantikan Zainol Fadzi sebagai penasihat khas menteri besar pada akhir Mei lalu.

Kata Akhi Nosa kumpulannya memberikan tempoh tujuh hari kepada Ahmad Faizal memberikan penjelasan mengenai langkahnya menempatkan pemimpin Umno berkenaan.

"Jika tidak diberikan penjelasan, maka kami serta penyokong HARAPAN akan mengadakan himpunan protes di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak," katanya.

Akhi Nosa juga menuntut diberi ruang mengadakan pertemuan dengan Ahmad Faizal bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelantikan yang dibuatnya.

Selain itu Otai Reformis 98 Perak turut meminta Ketua Umum HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Langkah itu perlu diambil supaya isu-isu sebegini tidak lagi berulang di semua peringkat kepimpinan HARAPAN," katanya.

Lihat Komen
ADS