Ezam umum langkah terbaru esok
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor akan membuat satu pengumuman besar esok berhubung masa depan politiknya.
Pengumuman kepada media akan dibuat selepas beliau memaklumkannya kepada exco Angkatan Muda PKR dalam satu mesyuarat khas esok. Pagi ini beliau memaklumkan keputusannya itu kepada Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali.
" Saya juga telah memaklumkan keputusan saya kepada Penasihat PKR dan Presiden PKR. Mesyuarat dengan exco Angkatan Muda esok bukan untuk meminta pandangan atau nasihat tetapi sekadar memaklumkan keputusan yang telah saya buat."
" Tindakan ini adalah keputusan peribadi saya, tidak didesak atau ditekan oleh-oleh mana-mana pihak,"jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ezam, ketiga-tiga pemimpin utama PKR itu memahami hasratnya dan menerima dengan hati terbuka keputusannya.
Ezam bagaimanapun menafikan beliau akan menyertai Umno. Menurutnya, beliau mempunyai banyak pilihan dan akan menyusun tindakan yang berperingkat-peringkat supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak.
Pengumuman esok akan menamatkan spekulasi mengenai kedudukan Ezam dalam PKR yang telah diperkatakan sejak dua tahun lalu. Selama ini bekas Setiausaha Politik Anwar itu dikatakan menjadi perancang kemasukan beberapa pemimpin Angkatan Muda PKR ke dalam Umno sebelum pilihanraya umum tahun lepas.
malaysiakini Rabu lalu melaporkan kemungkinan Ezam menyertai Umno sebagai langkah awal bagi membuka laluan kepada bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai semula parti Melayu terbesar itu.
Sebelum itu spekulasi kemasukan semula Ezam ke dalam Umno tersebar luas apabila sebuah laman web menyiarkan berita beliau akan mengumumkan pendiriannya dalam minggu kedua selepas Aidil Fitri.
Terdapat juga spekulasi Ezam mungkin bergiat dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) selepas ini jika beliau meletakkan jawatannya dalam PKR.
Ezam bagaimanapun memberi jaminan keputusannya esok tidak akan menjejaskan usaha PKR membantu kempen PAS di pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
" Saya tetap berkempen di Pengkalan Pasir malah akan ke sana pada 15 November ini untuk melancarkan jentera kempen Angkatan Muda PKR," ujarnya.
Ezam juga memberitahu, beliau akan turut menghadiri kongres PKR pada bulan depan.

