Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan nama Dr Idris Ahmad diserahkan kepada pihak istana untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor.

Menurut presiden PKR itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok berkenaan antara nama yang disampaikan kepada perhatian Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Dia salah seorang nama yang telah dinamakan sebagai calon (menteri besar),” katanya kepada pemberita selepas majlis Semarak Kasih Nur Ramadan bersama asnaf dan orang kelainan upaya di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun Dr Wan Azizah enggan memberikan kenyataan lanjut mengenai isu berkenaan.

Sebelum itu beliau ditanya mengenai status calon menteri besar Selangor selepas terdapat khabar angin bahawa Dr Idris dinamakan sebagai calon pilihan Pakatan Harapan di negeri itu dan bersaing dengan calon lain yang lebih dekat dengan Datuk Seri Azmin Ali.

Jawatan menteri besar perlu diganti dengan orang lain selepas timbalan presiden PKR terbabit dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam Malaysiakini melaporkan pemimpin HARAPAN Selangor mengutus surat kepada pihak istana bagi menyatakan sokongan terhadap Dr Idris.

Menurut sumber surat terkini yang dihantar kepada istana bagi menyatakan sokongan kepada Dr Idris bertarikh 5 Jun lalu.

Azmin ialah menteri besar Selangor sejak Sept 2014.

Sesetengah pihak dikatakan mencadangkan nama ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari, sebagai pengganti Azmin.

Amirudin, 38, ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Selain Amirudin, satu lagi nama yang dikemukakan mereka ialah ADUN Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin.

Sehari selepas media laporan itu dikeluarkan, hari ini beberapa pemidang memaparkan sokongan terhadap Dr Idris dinaikkan di lokasi-lokasi strategik di negeri itu.

Tidak diketahui siapa dalang di sebalik paparan umum berkenaan namun ia jelas menunjukkan sokongan kepada Dr Idris, yang dicadangkan pemimpin HARAPAN Selangor untuk menjadi menteri besar baru di negeri itu.

Antara lokasi pemidang itu dinaikkan ialah di Jalan Gombak, Taman Medan, Abdullah Hukum dan Hulu Kelang.

Tidak ketinggalan, Bukit Antarabangsa yang juga kawasan Azmin.

Malaysiakini difahamkan poster serta pemidang berkenaan dinaikkan awal pagi tadi dan sehingga tengah hari ini ia masih dapat dilihat orang ramai.

Lihat Komen
ADS