Hanya sebulan selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Kementerian Pertanian berusaha menamatkan monopoli import beras oleh syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

ADUN PKR, Gooi Hsiao Leung berkata, Menteri Pertanian Salahuddin Ayub bakal mengakhiri layanan istimewa yang diberikan kepada syarikat kroni BN yang mendapat keuntungan besar, namun pada masa sama meminggirkan petani dan pengguna beras di negara ini.

Gooi yang aktif berkempen menentang monopoli BERNAS, berkata janji itu terkandung dalam manifesto HARAPAN bagi menjamin keperluan makanan asas rakyat dan kebajikan petani di negara ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masih ramai petani hidup dalam kemiskinan akibat peningkatan kos pengeluaran, malah kebanyakan kilang padi bersaiz kecil dan sederhana ditutup.

"Saya berharap Menteri Pertanian akan melihat dengan teliti gesaan yang dibuat untuk membina semula Lembaga Padi Negara (LPN) sebagai sebahagian daripada pembaikan dan pembaharuan industri beras nasional yang sangat diperlukan.

"Dalam hal ini, saya menggesa Menteri Pertanian untuk terlibat secara langsung dengan para petani, pengilang dan pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan input mereka tentang cara memulihkan dan menghidupkan semula industri beras tempatan dalam "Malaysia Baru"

"Ini untuk meningkatkan kebajikan dan kehidupan petani yang memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan dengan menghasilkan makanan ruji negara kita yang paling penting," kata Gooi dalam satu kenyataan.

Suara dipekakkan

Gooi merujuk kepada pengumuman Salahuddin pada 6 Jun mengenai keputusan kabinet untuk menamatkan monopoli BERNAS untuk mengimport beras.

Salahuddin keesokannya berkata rancangan itu bukan untuk menutup BERNAS tetapi untuk mengkaji semula monopoli beras melibatkan syarikat itu.

Salahuddin berkata kertas kerja untuk memecahkan monopoli itu akan dirangka dengan maklum balas daripada kementerian dan pihak berkepentingan lain sebelum diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Gooi yang memuji pengumuman Menteri Pertanian itu berkata, selama bertahun-tahun suara para petani, pengilang dan pihak berkepentingan dipekakkan oleh kerajaan BN.

"Khususnya, apabila mereka menuding kerajaan kerana membenarkan BERNAS diswastakan sepenuhnya dan dikecualikan daripada membayar berbilion duti import beras, sedangkan cukai tersebut boleh dikumpulkan dan disalurkan kembali untuk membantu petani padi yang miskin.

"Amalan kerajaan BN untuk membolehkan sebuah syarikat swasta dan mengawal keuntungan daripada tidak membayar duti import beras adalah jauh berbeza dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea yang mengenakan tarif import yang tinggi terhadap padi lebih daripada 200 peratus untuk melindungi industri beras tempatan mereka," tambah bekas anggota parlimen Alor Setar itu.