Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersetuju dengan saranan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy supaya aspek keselamatan jalan raya diajar di sekolah.

Chan baru-baru ini mencadangkan soal keselamatan jalan raya ditekankan sejak di peringkat sekolah bagi meningkatkan kesedaran penduduk negara ini tentang keselamatan jalan raya.

Hishamuddin berkata beliau akan berbincang lanjut dengan Chan mengenai perkara itu tidak lama lagi.

"Bagaimanapun faktor masa dan tempoh pembelajaran perlu dikaji terlebih dahulu sebelum soal keselamatan jalan raya dapat diterap di sekolah, katanya semasa merasmikan Pusat Peningkatan Profesionalisme Pendidik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kita tidak boleh melambak semua masalah dan isu semasa untuk diajar di sekolah. Masa pembelajaran di sekolah adalah terhad.

"Kita mesti beri keutamaan untuk masukan perkara-perkara yang perlu dijajar secara rasmi dalam kurikulum," katanya.

Jumlah kematian membabitkan kemalangan jalan raya di negara ini sentiasa meningkat terutama pada musim perayaan walaupun kerajaan sentiasa mengingatkan rakyat mematuhi peraturan jalan raya semasa memandu.

Seramai 223 orang dilaporkan terkorban dalam 203 kemalangan maut di seluruh negara setakat semalam sejak Ops Sikap IX, iaitu kempen mencegah kemalangan jalan raya semasa Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali, dilancarkan 27 Okt lepas.

Sejumlah 223 kematian dilaporkan, meningkat 37 kes, berbanding tempoh yang sama dalam kempen tahun lepas iaitu 186 kematian.

Mengenai desakan 14 kesatuan dan persatuan guru yang mahu hak bekerja lima hari seminggu, Hishammuddin berkata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahmad Sipon akan berjumpa dengan kesatuan dan persatuan terbabit hari ini.

Katanya beliau menunggu hasil pertemuan itu yang diadakan di Miri, Sarawak.