Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puteri Umno: Ubah syarat pemilihan supaya ahli baru boleh tanding

Pergerakan Umno Puteri menggesa lebih ramai pemimpin muda bertanding dalam pemilihan parti yang akan datang dengan meminta pengecualian terhadap syarat yang mewajibkan semua calon untuk menjadi anggota parti selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata beliau telah merayu kepada Majlis Tertinggi Umno untuk membolehkan mereka yang berpengalaman kurang dari tiga tahun sebagai ahli untuk bertanding dalam pemilihan parti akan datang.

Mas Ermieyati berkata ini kerana sayapnya menarik banyak ahli baru yang berminat untuk bertanding tetapi menghadapi sekatan untuk melakukannya di bawah perlembagaan Umno.

"Kami meminta Majlis Tertinggi Umno untuk melonggarkan peraturan dan memberikan pengecualian khas di semua peringkat.

Puteri sokong 4 pemimpinnya

"Mungkin ada yang menyertai selama lapan bulan atau satu tahun, membolehkan mereka bertanding di mana-mana jawatan kecuali ketua dan naib ketua," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco Puteri Umno di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur .

Beliau berkata sayapnya melalui program Adinda yang dilancarkan pada Disember 2015, menyasarkan menarik ahli baru berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Anggota Parlimen Masjid Tanah juga mengumumkan sayap Puteri Umno menyokong empat pemimpinnya untuk bertanding bagi kerusi Dewan Tertinggi Umno.

Mereka ialah Setiausaha Puteri Umno, Datuk Fahariyah Md Nordin, pembantu bendahari Hazreen Begum, Ketua Puteri Umno Kota Tinggi, Azilah Atan dan ahli exco pusat, Dira Abu Zahar.

Sebelum ini, Mas Ermieyati mendedahkan Dira (gambar) antara calon berpotensi daripada Puteri Umno yang tidak memenuhi syarat keahlian minima tiga tahun seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti.

Ketika ditemui kemudian, Dira mengesahkan keahliannya kurang kira-kira dua bulan dari syarat keahlian tiga tahun yang diperlukan.

Pada masa sama, Mas Ermieyati yakin perkara itu akan diselesaikan di antara kepimpinan pusat dan Puteri Umno.

Pada 22 Mei, pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pemilihan Umno peringkat bahagian akan dilaksanakan dari 19 Mei hingga 10 Jun, diikuti dengan pemilihan ketua-ketua sayap pada 23 Jun dan pemilihan Majlis Tertinggi Umno pada 30 Jun.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS