Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP DAP bimbang persepsi pertemuan Daim dengan hakim
Diterbitkan:  Jun 10, 2018 9:48 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

Anggota Parlimen DAP dari Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata beliau bimbang dakwaan pertemuan antara Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bersama para hakim tertinggi negara meminta mereka untuk meletakkan jawatan boleh menimbulkan tanggapan campur tangan dalam kehakiman.

Beliau merujuk dakwaan bekas hakim mahkamah persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mendakwa Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin diminta meletakkan jawatan masing-masing di pejabat Daim.

"Jika benar Daim bertindak sedemikian, ia tidak boleh dibiarkan dan saya bersetuju dengan Sri Ram bahawa Daim tidak sepatutnya campur tangan dalam hal-hal sebegini kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.

"Sebaik-baiknya perlu elakkan tanggapan mungkin berlaku campur tangan (terutamanya daripada pihak-pihak yang dilihat dekat dengan kerajaan) dalam pelantikan atau penamatan tugas ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan. Daim lebih tahu hal ini dan tidak perlu terlibat dengannya (dengan andaian dakwaan Sri Ram adalah benar) yang mungkin menimbulkan persepsi seperti itu," kata Ramparkal dalam satu kenyataan hari ini.

Ramkarpal, seorang peguam berkata beliau juga percaya pelantikan Md Raus dan Zulkefli melanggar perlembagaan tetapi menekankan penyingkiran mereka mestilah mengikut peraturan undang-undang.

"Saya selalu berpendapat pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah melanggar perlembagaan serta pada masa lalu telah menawarkan pendapat saya untuk ini dan tidak mahu mengulangi perkara yang sama di sini.

"Bagaimanapun, penyingkiran Raus dan Zulkefli mestilah mematuhi kedaulatan undang-undang dan penglibatan Daim dalam perkara ini (jika benar) tentunya bertentangan dengan aturan hukum tersebut," katanya.

Ramparkal menegaskan cabaran undang-undang terhadap pelantikan Raus dan Zaulkefli masih tertunda di Mahkamah Persekutuan.

"Mahkamah Persekutuan sepatutnya menetapkan tarikh untuk membuat keputusan secepat mungkin memandangkan perkara itu agak jelas merupakan salah satu perkara yang perlu segera diselesaikan dengan mengambil kira kepentingan keadilan," katanya.

Pada tahun lalu, Raus dan Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan untuk kekal sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Lantikan "hakim tambahan" itu dilihat sebagai percubaan untuk melangkaui syarat had umur 66 tahun dan enam bulan bagi jawatan Ketua Hakim Negara serta presiden Mahkamah Rayuan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS