Paling Popular
Terkini

Penghapusan cukai pelancongan dan penyelarasan gaji dalam industri berkenaan antara cadangan yang dikemukakan kepada Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cheah Swee Hee berkata langkah menghapuskan kadar bayaran rata RM10 untuk satu malam bagi setiap pelancong asing merupakan antara pilihan yang paling menarik bagi meningkatkan kemasukan golongan itu.

"Pilihan terbaik adalah hapuskan. Itu yang akan paling menarik bagi pelancong.

"Tapi sudah tentu, apa-apa yang disampaikan dan dilaksanakan kami perlu bincangkan terlebih dahulu," katanya pada pemberita.

Bagaimanapun, Cheah menambah, sebarang penyelesaian perlu adil kepada semua pihak yang terlibat.

"Ketika ini kita ada kadar rata, ini tidak begitu menggalakkan pelancong untuk tinggal lama kerana kadar harian.

"Jadi kita cuba cari penyelesaian untuk hal ini," katanya.

Cukai pelancongan diperkenalkan bekas menteri pelancongan dan kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz Julai tahun lalu.

Cukai itu dilaksanakan secara rasmi selepas beberapa pindaan pada 1 September, dengan Nazri ketika itu mendakwa ia akan memberi pendapatan kepada negara RM210 juta setahun.

Menurut Cheah, dia juga mengemukakan cadangan untuk meningkatkan gaji minimum RM1,500 kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

Sebelum langkah itu diambil, tambahnya, penyelarasan undang-undang seperti Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Kumpulan Wan​g Amanah Pencen 1991 perlu diselaraskan.

Cheah tidak menyebut secara spesifik peruntukan yang dimaksudkannya.

"Sesetengah pekerja dalam industri hotel mungkin kelihatan mempunyai pendapatan yang rendah.

"Namun hakikat sebenar bayaran perkhidmatan (yang diterima) sangat tinggi," katanya.

Hal lain yang turut dibangkitkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan termasuklah hotel tanpa lesen, kediaman Airbnb, dan kesan dari penggantian GST kepada SST.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS