Ketika seluruh negara merayakan Deepavali dan Hari Raya Aidil Fitri, seorang wanita warga China melalui pengalaman paling buruk dalam hidupnya di negara ini.

Wanita berusia 35 tahun itu yang dituduh memiliki dokumen perjalanan palsu mendakwa dia telah ditahan, digari, ditampar dan dibogelkan ketika berada dalam tahanan polis selama empat hari.

Suri rumah warga China itu yang hanya mahu dikenali dengan nama Zhen telah berkahwin dengan rakyat Malaysia pada tahun 2001.

Menceritakan pengalaman pahitnya dalam satu sidang media hari ini, Zhen memberitahu, dia bersama seorang lagi rakan perempuannya, juga warga China ditahan polis Khamis lalu.

Menurutnya ketika menaiki kereta bersama tiga teman lelaki warga Malaysia untuk menghadiri jamuan di sebuah rumah rakan mereka di Kepong, pada kira-kira pukul 11 malam kereta mereka ditahan polis di satu sekatan jalan raya di Sungai Buluh.

" Kami menunjukkan paspot kami dan anggota polis berkenaan mensyakinya palsu. Walaupun saya tidak faham bahasa Melayu tetapi dari gerak tubuh mereka, saya tahun mereka meminta wanag RM500. Jika tidak diberi kami akan ditangkap."

" Saya enggan memberikan wang kerana saya tahu pospot saya tulen," ujarnya.

Bercakap dalam sidang akhbar di pejabat ahli Parlimen Seputeh, Teresa Koh di ibunegara, Zhen mendakwa, ekoran keengganannya " berkerjasama ", kedua-dua mereka digari dan dibawa ke balai polis Sungai Buloh.

"Di balai polis itu saya nampak beberapa orang lagi wanita warga China ditahan di atas tuduhan yang sama. Saya menghubungi suami saya dan memintanya membawa sijil pernikahan kami tetapi pegawai polis bertugas tidak mempedulikan sijil nikah yang ditunjukkan kepada mereka," ceritanya lagi.

Pada kira-kira pukul 6 pagi semua tahanan dihantar ke ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya. Zhen mendakwa, sebelum memasuki bilik tahanan, bag dan barangan milik mereka diperiksa.

" Seorang polis lelaki dan polis wanita yang berada di kaunter telah meminta dari saya RM50, katanya untuk "Yam Cha " (minum kopi). Saya faham kantonis, jadi saya tahu mereka mahukan wang."

"Mereka ambil lima wang kertas RM10 dari bag saya. Dua lagi wanita China masing-masing memberi mereka RM50. Kawan saya hanya memberi mereka RM3 kerana itu sahaja yang ada padanya. Anggota polis itu kemudian mengagihkan wang itu kepada dua atau tiga anggota lain di hadapan kami,"

Menurut Zhen kesangsaraannya tidak berakhir di situ, malah lebih teruk apabila disuruh masuk ke sebuah bilik dan arahkan berbogel.

" Di dalam sebuah bilik seorang polis wanita menyuruh saya menanggalkan pakaian termasuk seluar dalam. Saya berasa sangat malu lalu ketika menanggalkan seluar dalam, saya berpusing membelakangkan anggota polis tersebut. Ketika membelakangkannya anggota polis itu menampar saya dan meramas buah dada saya," dakwanya lagi.

Selepas itu Zhen bersama 18 tahanan lain ditahan dalam sebuah bilik tahanan yang kotor dan dipenuhi semut. Dia mendakwa tidak diberi makan dan minum hingga terpaksa meminum air paip sahaja.

Zhen juga mendakwa pakaian dan bahan mencuci diri yang dihantar suaminya kepadanya tidak sampai ke tangannya.

Wanita warga China itu hanya dibebaskan pada Isnin lalu setelah paspotnya disahkan oleh Jabatan Imigresen.

Beliau telah membuat aduan kepada jabatan disiplin polis di Bukit Aman dan Badan Pencegah Rasuah.

" Saya menceritakan pengalaman saya ini supaya tiada lagi wanita warga China menjadi mangsa seperti saya selepas ini,' jelasnya apabila ditanya apa tujuannya mendedahkan kejadian tersebut.

Zhen juga menyatakan, dia telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Bakri Omar menggesanya memberi perhatian kepada kes tersebut.