Pemimpin DAP Liew Chin Tong akan memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di Johor Bahru esok untuk mencabar keputusan pilihan raya ke-14 bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam.
Pada pilihan raya itu, Liew kalah kepada Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong dengan majoriti 303 undi.
"Butiran lanjut akan kami beritahu pada sidang akhbar pada jam 12 tengahari esok selepas petisyen difailkan," katanya kepada Malaysiakini.
Liew, yang juga pengerusi DAP Johor, berkata bekas pengerusi Majlis Peguam, Yeo Yang Poh akan mengendalikan kesnya.
Pada 21 Mei lalu, Liew memberi bayangan bahawa beliau akan mencabar keputusan berkenaan jika mempunyai asas undang-undang yang mencukupi.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan pilihan raya yang diwartakan pada 28 Mei.
Calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mempunyai 21 hari untuk memfail petisyen pilihan raya, yang bermaksud hari terakhir untuk berbuat demikian adalah 18 Jun.
Setakat ini, hanya calon DAP, M Manogaran yang telah memfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands.
Dia mendakwa pemenang, C Sivaraajh dari MIC, telah menyonggok dan mengugut pengundi.
