Paling Popular
Terkini

Peguam kepada enam tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) Faizal Rahman memberitahu beliau tidak berhasrat untuk bertemu dengan pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Zamihan Zin.

Menurut Faizal, isu berhubung dakwaan Zamihan memaksa tahanan untuk mengaku salah ketika berceramah sempena Nuzul Quran di Penjara Sungai Buloh itu telah menjadi kes polis.

Sehubungan itu, Faizal menasihatkan penceramah kontroversi itu untuk bertemu dengan pihak polis berbanding dirinya.

"Nasihat saya pada Zamihan, ini bukan isu saya dan dia. Ini adalah isu kata-kata dia pada ceramah Nuzul Quran di Penjara Sungai Buloh.

"Saya tak nak berjumpa dia, saya nasihatkan dia berjumpa pihak polis bila kes ini disiasat," katanya kepada Malaysiakini.

Faizal mengulas kenyataan Zamihan di Facebooknya hari ini yang menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan Faizal serta semua tahanan bagi memberi pencerahan mengenai isu berkenaan.

Utusan Online semalam melaporkan, enam waris tahanan Sosma membuat laporan polis terhadap Zamihan berikutan pendakwah itu didakwa memaksa tahanan mengaku salah, mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, hinaan dan melemparkan fitnah kepada beberapa pemimpin negara.

Zamihan bagaimanapun meragui laporan polis yang dibuat oleh waris berkenaan dan membangkitkan persoalan siapa sebenarnya di belakang isu itu.

Selain itu, mengulas mengenai kenyataan Zamihan yang menggesa agar menunjukkan bukti beliau mengutuk pemimpin iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar dan Mohamad Sabu- Faizal berkata beliau tidak akan berbuat demikian.

Ini kerana, menurutnya, segala bukti telah diserahkan kepada pihak polis dan beliau tidak mahu menyiarkan sebarang dokumen semata-mata untuk Zamihan.

"Kalau dia kata ia fitnah, saya nasihatkan dia supaya jawab pada polis kerana kita tidak mengamalkan siasatan dalam media. Dia berhak untuk respon tetapi dia cabar kemuka bukti itu, saya sudah serah pada polis.

"Saya tidak akan siarkan dokumen saya pada media atau untuk dia semata-mata. Dia telah menjadi orang yang disyaki dan dia berhak jawab apa-apa pun kepada polis dan bukan kepada saya atau keluarga (tahanan).

"Polis perlu siasat perkara ini dan saya tak perlu berjumpa dengan dia untuk selesaikan perkara ini.

"Saya juga hendak beri tekanan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya hentikan dulu dia dari masuk ke dalam penjara (Sungai Buloh) sehingga kes ini selesai disiasat," kata Faizal lagi.

Ditanya mengenai kesahihan dakwaannya terhadap Zamihan, Faizal memberitahu beliau sendiri pergi berjumpa dengan tahanan Sosma berkenaan bagi mengesahkan perkara tersebut.

"Bila dapat tahu saya terus jumpa tahanan dan temuramah sendiri dalam satu jam. Jadi saya rasakan apa disampaikan tahanan ni adalah satu perkara yang ada asas untuk polis lakukan siasatan," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS