Paling Popular
Terkini

Empat parti pemerintah Sarawak hari ini secara rasmi mengumumkan apa yang barangkali sudah dijangka ramai - keluar daripada gabungan BN.

Ia bermula dengan kenyataan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Mei lalu bahawa parti itu akan mengkaji semula kedudukan dalam BN, sehinggalah kepada pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.

Apa yang masih menjadi tanda tanya adalah bagaimana empat parti itu - yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) - akan bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

GPS merangkumi PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Penganalisis politik berpandangan langkah itu sudah mula difikirkan pemimpin parti sebaik saja tumbangnya BN pada PRU ke-14.

"Kerisauan mereka adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang perlu dijalankan paling lewat pada 2021. Dengan jenama BN sudah begitu tercemar, mereka tiada pilihan lain," kata Pengarah Institut Asia di University of Tasmania Australia James Chin kepada Malaysiakini.

"Perkara penting bagi mereka adalah menjaga kepentingan Sarawak dan memastikan janji penurunan kuasa kepada mereka ditunaikan. HARAPAN pula mentadbir dengan majoriti mudah, maka apa saja sokongan dari Sarawak dialu-alukan," kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Faisal Hazis.

Mahathir sendiri mengakui perkara itu dengan berkata perkembangan itu mengukuhkan lagi HARAPAN di Parlimen.

GPS membawa 19 kerusi bersama mereka - PBB mendahului dengan 13 kerusi, diikuti PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1).

HARAPAN berdepan isu moral

Faisal berkata langkah itu boleh dilihat sebagai usaha mengelak daripada dikalahkan HARAPAN pada PRN akan datang - dengan kata lain, menyelamatkan kerjaya politik masing-masing.

Namun, kata Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) itu lagi, GPS tetap perlu memperkenalkan pembaharuan dalam politik negeri antaranya dalam aspek kedaulatan undang-undang serta pemisahan politik dalam perkhidmatan awam dan projek pembangunan.

"Mereka perlu tangani isu ini dan perkenalkan reformasi, jika tidak saya fikir kerjasama GPS dengan HARAPAN akan dipersoalkan," katanya lagi.

Beliau mendakwa PBB sebagai "Umno di Sarawak", sebuah parti yang mengamalkan politik elit dan terpisah dengan rakyat terbanyak.

"Rakyat menolak politik seumpama itu pada PRU lalu. Jika mereka gagal mengubah parti, bagaimana mahu mengubah seluruh sistem di negeri itu?

"Ini juga isu moral yang perlu dihadapi kerajaan HARAPAN. Adakah mereka akan tutup sebelah mata terhadap dakwaan korupsi hanya kerana mahu sokongan GSP?" katanya lagi.

Kembali ke 1987

Chin pula membangkitkan soal aturan politik di negeri itu memandangkan kedua-dua pemerintah dan pembangkang negeri kini menyokong kerajaan pusat.

"Apa akan berlaku pada (PRN) 2021? Adakah GPS akan bertembung dengan HARAPAN Sarawak?" soalnya, mengimbas kembali pada 1987 apabila Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menjadi pembangkang di peringkat DUN tetapi turut menjadi anggota kerajaan di peringkat pusat.

"Kini HARAPAN adalah pembangkang negeri tetapi mereka memegang kuasa di pusat.

"Bagaimana jika kerajaan pusat berkata Sarawak hanya akan mendapat semula kuasa dalam Perjanjian Malaysia 1963 jika HARAPAN negeri menang pada PRN akan datang?" soalnya lagi.

Lihat Komen
ADS