Aktivis pelajar yang didakwa di mahkamah berhubung penyertaannya dalam perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Jun lalu kini digantung pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas diterima semula belajar walau pernah dipecat.

Rafzan Ramli, pelajar tahun dua jurusan kejuruteraan elektrik, tidak dibenarkan meneruskan pelajaran sehingga kes mahkamahnya itu selesai dan penggantungan itu berkuatkuasa 19 Julai lalu, hari beliau didakwa.

Dalam surat yang dikeluarkan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu bertarikh 7 Ogos, Rafzan digantung mengikut seksyen 14(1) Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib).

Menurut seksyen itu, seseorang pelajar yang menghadapi pertuduhan di mahkamah boleh digantung pengajian dan dilarang memasuki kampus sebarang universiti tempatan.

Rafzan, yang menerima surat itu petang semalam, bersama enam yang lain dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut seksyen 27(5) Akta Polis atau kesalahan menyertai perhimpunan tanpa permit.

"Tidak, saya telah menjangka (tindakan seumpama ini)," katanya kepada malaysiakini hari ini apabila ditanya perasaannya selepas menerima tindakan itu.

Aktivis pelajar itu berkata beliau akan mengemukakan rayuan kepada UiTM dan Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor HEP Datuk Prof Dr Adnan Alias, apabila dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Enam aktivis pelajar, termasuk Rafzan, dan seorang kakitangan swasta ditangkap dalam satu perhimpunan di depan Masjid Negara pada 8 Jun. Kes itu akan disebut pada 15 dan 16 Oktober ini.

Selepas tangkapan itu, jawatankuasa tatatertib UiTM yang bersidang pada pada 22 Jun memecat Rafzan serta-merta tetapi beliau diterima semula belajar pada 11 Julai selepas universiti itu menerima rayuan pelajar terbabit.

Tanpa kehilangan faedah

Dalam surat keizinan meneruskan pengajian, aktivis pelajar itu dibenarkan kembali ke kampusnya di Shah Alam untuk "meneruskan pengajian tanpa kehilangan apa-apa faedah." UiTM juga membatalkan surat pemecatannya yang bertarikh 23 Jun lalu.

Perhimpunan yang diadakan sempena genap 60 hari penangkapan 10 aktivis reformasi sejak 10 April berjaya disertai kira-kira 200 pelajar daripada beberapa universiti tempatan. Ia dianjurkan oleh gabungan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Tujuh aktivis itu yang ditangkap itu ditahan hampir 24 jam di balai polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Selain Rafzan, aktivis pelajar yang turut didakwa adalah Ahmad Kamal Abd Hamid, Khairul Amal Mahmood, Nik Noorhafizi Nik Ismail Nik Ibrahim, Wan Mohd Sanusi Wan Mohd Noor, Zulkifli Idris dan kakitangan swasta Hilman Sanuddin.

Dua pelajar itu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, dua lagi daripada Universiti Malaya dan seorang daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Malaysiakini difahamkan beberapa lagi aktivis pelajar akan digantung pengajian oleh universiti masing-masing.

Daripada 10 aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional, enam daripadanya ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak sejak 2 Jun. Mereka adalah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat Saari Sungib, Dr Badrulamin Bahron, Lokman Noor Adam dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.

Sementara yang lain dibebaskan, termasuk dua atas arahan mahkamah.