Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen memberi peringatan bahawa tiada apa-apa yang berubah dengan gabungan pemerintah Sarawak melainkan nama mereka.

Beliau mengulas tindakan empat parti komponen BN - PBB, PRS, PDP dan SUPP - yang meninggalkan BN untuk membentuk gabungan baru yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Tidak kira apa nama (gabungan) empat parti itu, mereka masih parti sama yang sebelum ini menganggotai BN Sarawak, dengan dasar yang sama.

"Kecuali ada perubahan jelas dalam dasar kerajaan negeri, penukaran nama BN Sarawak kepada GPS tidak bermakna apa-apa," katanya dalam kenyataan.

Selain keluar BN, GPS juga mengumumkan akan menyokong kerajaan pusat yang dikuasai Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam soal melibatkan kepentingan negara dan Sarawak.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata, keputusan itu selepas mengambil kira kekalahan BN pada PRU ke-14.

Chong yang juga anggota parlimen Stampin mengingatkan GPS bukanlah rakan yang boleh dipercayai dan akan kembali kepada Umno jika parti itu kembali kuat di masa depan.

"Mereka hanya kawan masa senang. Di saat sukar, mereka tidak ragu-ragu untuk meninggalkan kawan.

"Baru sebulan lalu mereka memuji BN dan Datuk Seri Najib Razak. (Presiden SUPP) Datuk Sim Kui Hian dan Abang Jo sebelum ini mengatakan Najib adalah perdana menteri terbaik untuk Sarawak.

"(Presiden PRS) Tan Sri James Masing pula berkata beliau 'sanggup karam bersama BN'. Tetapi hari ini mereka keluar BN, menambah lagi luka (kekalahan BN)," katanya lagi.

Baju saja beza

Sokongan GPS membawa bersama 19 kerusi parlimen, mengukuhkan lagi kedudukan HARAPAN di Dewan Rakyat.

Menyuarakan sentimen sama, anggota parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata keempat parti itu sepatutnya berbuat demikian sebelum PRU.

"Orang dalam parti ini yang terlibat secara langsung terhadap pencurian kekayaan negeri, termasuk sumber balak dan tanah...Orang dan kerosakan sama, cuma baju yang berbeza.

"Adakah mereka akan melakukan perkara sama jika BN dan Najib yang menang PRU? Jelas ini hanyalah untuk kepentingan diri dan politik, bukan untuk rakyat Sarawak," katanya yang juga setiausaha politik Chong.